Thailand sasar ganti Malaysia sebagai pengeluar utama sarung tangan dunia | DagangNews Skip to main content

Thailand sasar ganti Malaysia sebagai pengeluar utama sarung tangan dunia

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Thailand sedang melipat gandakan usaha untuk menggantikan Malaysia sebagai sebuah hab utama pengeluar sarung tangan getah di dunia. 

Memandangkan Thailand merupakan pengeluar getah asli terbesar dunia, negara jiran itu optimis mampu menggandakan pasaran saham sarung tangan getah kepada 26% dengan mudah.

Menurut Bloomberg, Malaysia lebih tangkas untuk menghasilkan sarung tangan getah yang selalunya menggunakan nitril dan sebatian sintetik berbanding Thailand.

Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Getah Thailand menggesa syarikat tempatan untuk mempercepatkan pengeluaran sarung tangan getah memandangkan negara itu mempunyai banyak bekalan getah semula jadi. 

“Kami mahu menjadi pengeluar sarung tangan getah asli nombor satu dunia.

“Terdapat banyak peluang untuk kami kerana pasaran getah Asia mempunyai potensi untuk berkembang pesat dan kami pula membekalkan majoriti getah asli ke seluruh dunia,” kata Gabenor Pihak Berkuasa Getah Thailand, Nakorn Takkavirapat.  

Thailand menghasilkan 4.8 juta tan metrik getah asli pada setiap tahun, jauh lebih tinggi daripada Indonesia, Vietnam dan Malaysia. 

Bagi syarikat terbesar industri getah Thailand pula percaya industri getah di negara itu telah merancakkan lagi kapasiti pengeluaran sarung tangan seiring permintaan yang tinggi.

 

Boon Vanasin
Boon Vanasin. - Gambar oleh The Bangkok Post (Somchai Poomlard)

 

Pengerusi Thonburi Healthcare Group Pcl, Boon Vanasin menganggarkan permintaan sarung tangan global mencecah 400 bilion hingga 600 bilion sarung tangan, tetapi bekalan yang ada ketika ini hanya separuh daripada angka berkenaan. 

Syarikat sarung tangan terbesar Thailand, Sri Trang Gloves Pcl pula menyasarkan untuk menggandakan kapasiti pengeluaran produk itu sehingga 70 bilion menjelang 2026. 

“Terdapat jurang yang besar antara permintaan dan bekalan. Thailand mengeksport banyak getah asli untuk diproses di luar negara.

“Kenapa Thailand tidak boleh proses getah dan buat sarung tangan sendiri untuk dieksport?” jelas Boon.

Cabaran untuk industri sarung tangan getah Thailand adalah meraih kembali pasaran dengan produk alternatif nitril yang tidak menyebabkan alergi seperti sarung tangan susu getah semula jadi. - DagangNews.com