Theta Edge kaji pendekatan terkini gabungkan teknologi, keupayaan baharu bagi menghasilkan pendapatan berulang | DagangNews Skip to main content

Theta Edge kaji pendekatan terkini gabungkan teknologi, keupayaan baharu bagi menghasilkan pendapatan berulang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Julai - Peneraju teknologi maklumat dan komunikasi, Theta Edge Bhd sedang mengkaji pendekatan untuk membina hasil berulang dengan menggabungkan teknologi serta keupayaan baharu dalam bidang mobiliti sebagai perkhidmatan, keselamatan siber, rumusan pembayaran dan platform mobiliti haji dan umrah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, perancangan dalam tempoh tiga tahun itu melibatkan gabungan analisis, kerjasama dan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.

 

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk mencapai objektif perniagaan, meningkatkan kecekapan dan memperkukuh potensi pertumbuhan kumpulan.

 

"Kami akan memberi fokus penyepaduan amalan kemampanan di peringkat operasi selain inisiatif tadbir urus telah dilaksanakan bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan operasi.

 

"Kami yakin kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk terus kekal berdaya tahan dan memberikan pertumbuhan yang mampan, berpandukan strategi dan trajektori transformasi syarikat," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-31, hari ini.

 

theta

 

AGM yang diadakan secara maya itu diterajui oleh Pengerusi Theta, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman dengan kehadiran 214 pemegang saham serta proksi.

 

Keputusan untuk mengagihkan dividen sebanyak RM2 juta itu diterjemahkan kepada 0.017 sen sesaham merupakan pendekatan seimbang Theta terhadap peruntukan modal dan pada masa sama memastikan pemegang saham diberi ganjaran sewajarnya sambil mengekalkan sumber dalam memacu trajektori pertumbuhan kumpulan. 

 

"Theta menunjukkan daya tahan tinggi dalam mengharungi cabaran sambil menempa hala tuju strategik bagi meletakkan kumpulan pada kedudukan lebih baik dan mempercepatkan pertumbuhan dengan mengguna pakai strategi sedia ada.

 

“Strategi itu akan memberi tumpuan kepada penciptaan nilai baharu dalam perniagaan, menyemak model perniagaan untuk aliran hasil yang dipertingkatkan dan memperdalam pembangunan bakat,” katanya.- DagangNews.com