Tiada pengurangan dana kepada Kementerian Kesihatan, sebaliknya lebih banyak | DagangNews Skip to main content

Tiada pengurangan dana kepada Kementerian Kesihatan, sebaliknya lebih banyak

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Kementerian Kesihatan tidak berdepan sebarang isu pengurangan peruntukan dana terutamanya melibatkan penyakit tidak berjangkit (NCD) di bawah Belanjawan 2021. 

 

Sebaliknya, pengagihan peruntukan yang diterima disusun semula untuk mengawal perbelanjaan dengan berhemah. 

 

Langkah penyusunan itu bagaimanapun telah disalah erti segelintir pihak yang mendakwa peruntukan diterima Kementerian Kesihatan dipotong sehingga 2.57%.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Chen Chaw Ming menegaskan kerajaan masih meneruskan segala program dan aktiviti berkaitan penjagaan kesihatan di bawah Belanjawan 2021 untuk tahun hadapan.  

 

“Tahun ini negara dan juga global berdepan cabaran penularan COVID-19, tetapi kita tidak pernah abaikan program NCD. (Cumanya), disebabkan COVID-19, kita memberi tumpuan dan penekanan. 

 

Chen Chaw Ming
Chen Chaw Ming

 

Program NCD masih diteruskan di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS),” katanya. 

 

Jelas Chaw Ming, dakwaan pengurangan peruntukan berjumlah RM4.29 bilion itu sebenarnya telah dipindahkan ke satu program khusus. 

 

Program khusus itu melibatkan bekalan perubatan kemudahan kesihatan, manakala konsesi penswastaan makmal ubat dan stor pula diletakkan di bawah komitmen kewangan. 

 

Berbeza daripada langkah penyusunan sebelum ini, peruntukan bagi perkhidmatan sokongan hospital (PSH) dan perkhidmatan sokongan klinik (PSK) bernilai RM2.065 bilion dipindahkan kepada perbelanjaan pembangunan.

 

Terdahulu, semua peruntukan bagi tujuan bekalan perubatan untuk keperluan farmasi hospital, klinik kesihatan termasuk pergigian diletakkan di bawah aktiviti dan mengikut bidang kepakaran masing-masing.

 

“Sebenarnya jika dikira, kami menerima peruntukan yang lebih banyak berbanding apa yang telah ditarik keluar (pengasingan). Mengapa berlakunya pengasingan tersebut, itu adalah strategi Kementerian Kewangan.

 

“Tidak kira berapa kita dapat, ia sentiasa melibatkan aspek inovasi untuk meningkatkan kecekapan. Jadi, kami melihat inisiatif perbelanjaan yang berhemah perlu diletakkan di bawah garis panduan bersesuaian.

 

“Sudah tentu (kalau boleh) kami mahukan lebih, tetapi lihat pula pada kemampuan negara terutamanya ketika waktu mencabar ini. Jadi, dari segi inovasi contohnya, daripada membeli peralatan baharu, kita boleh sewa dan jika kita buat tender terbuka dan dapatkan harga terbaik, kita boleh runding harga lagi,” tambah beliau.

 

Mengulas mengenai peruntukan tambahan sehingga RM1 bilion untuk menangani penularan COVID-19, Chaw Min berkata, peruntukan berkenaan akan turut digunakan untuk kos operasi nyah cemar yang dilakukan secara berkala. 

 

"Contohnya, RM318 juta itu bukan sekadar nak beli peralatan pelindung diri (PPE) dan cecair pembasmi kuman untuk bekalan petugas hadapan,” ujar Chaw Min. - DagangNews.com