Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Kerajaan masih mengekalkan unjuran defisit Malaysia pada 2021 kepada 5.4%.
Ini adalah berdasarkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.5% hingga 7.5% yang dibuat ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu.
"Sebenarnya, unjuran masih kekal defisit 5.4%. Ini kerana kita masih kekalkan unjuran KDNK sebanyak 6.5% hingga 7.5%," kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 hari ini.
Beliau menjawab soalan ketika dicelah oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang meminta kerajaan mendedahkan unjuran defisit berbanding KDNK setelah membuat perbandingan defisit negara ketika krisis kewangan global dahulu.
Isu sama pernah dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan RUU Perbekalan 2021 di peringkat dasar pada 9 November lalu.
Beliau mempersoalkan bagaimana Kementerian Kewangan dapat meramalkan pertumbuhan KDNK sebanyak 8.6% hingga 9.6% bagi tahun 2021 dan pertambahan hasil yang tinggi.
Soalnya, ini berbeza dengan unjuran pertumbuhan yang lebih rendah telah dibuat oleh badan-badan antarabangsa seperti World Bank dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri.
“Justeru dari mana angka ini diperolehi oleh Kementerian Kewangan?
“Atas pertimbangan apa?,” soal Anwar dalam hantaran status di Facebook rasmi miliknya yang berkongsi perbahasan beliau berhubung RUU berkenaan. - DagangNews.com