Tiada potongan OPR November depan, ramal Standard Chartered | DagangNews Skip to main content

Tiada potongan OPR November depan, ramal Standard Chartered


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Susulan kes COVID-19 di Malaysia mula menunjukkan peningkatan mendadak, kebanyakan penganalisis ekonomi tidak menolak kemungkinan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dikurangkan lagi. 

Dalam kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) pada September lalu, institusi itu mengekalkan OPR pada kadar sama setelah empat kali dipotong pada tahun ini. 

Ketika itu, situasi penularan COVID-19 berjaya dikekang dan data terbaharu menunjukkan aktiviti ekonomi kembali rancak. 

Ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini, BNM mungkin berpendirian kurang ‘neutral’ dan terdapat risiko pemotongan OPR pada November depan.

“Bagaimanapun, kami mengekalkan pandangan tiada perubahan pada kadar dasar itu. 

“OPR sudah berada pada kadar yang rendah dalam sejarah dan potongan lanjut akan memberi impak margin terhad (dengan sekatan pandemik masih lagi berjalan) dan mengurangkan ruang dasar pada masa akan datang.

“Kami juga fikir bahawa kenaikan semula jangkitan COVID-19 dalam jangkaan bank pusat itu dan aktiviti ekonomi tidak akan perlahan seperti fasa PKPB sebelum ini,” kata nota kajian Standard Chartered.

Perluasan atau lanjutan PKPB mungkin mendorong keputusan yang lebih tepat oleh BNM, tambah Standard Chartered.

“Sektor-sektor yang berkaitan perhotelan dijangka yang paling teruk terjejas dengan perjalanan antara daerah disekat menyebabkan kerugian pelancongan domestik.

“Perkhidmatan makanan dan minuman juga mungkin terjejas kerana perkhidmatan makan di restoran tidak dibenarkan,” kata bank itu. - DagangNews.com