Tiada sebarang kenaikan, BNM kekal OPR pada kadar 3% | DagangNews Skip to main content

Tiada sebarang kenaikan, BNM kekal OPR pada kadar 3%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang berlangsung hari ini.

 

Menurut bank pusat itu, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi. 

 

Inflasi global keseluruhan meningkat sedikit dengansebahagiannya disebabkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi, manakala inflasi teras terus sederhana.

 

Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, disebabkan terutamanya oleh inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.

 

Sektor elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E) mula menunjukkan beberapa tanda pemulihan namun perdagangan global terus lemah, sebahagiannya disebabkan oleh peralihan perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan dan sekatan perdagangan yang berterusan. 

 

"Bagi ekonomi Malaysia, anggaran awal KDNK menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi bertambah baik pada suku ketiga. 

 

"Pertumbuhan pada tahun 2024 akan didorong terutamanya oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, dengan sokongan daripada eksport E&E yang dijangka pulih. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan terus menyokong perbelanjaan isi rumah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bank Pusat itu berkata, menjelang 2024, inflasi dijangka kekal sederhana. Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global. 

 

"Hasrat kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada tahun 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan," katanya.

 

BNM akan terus menguruskan risiko ketidakstabilan yang ketara, termasuk menyediakan mudah tunai, bagi memastikan pasaran pertukaran asing domestik dapat berfungsi dengan teratur. 

 

Katanya, institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh dengan keadaan kewangan domestik terus kondusif untuk pertumbuhan kredit yang berterusan.

 

"Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi. 

 

"MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan domestik dan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya. - DagangNews.com