Tiada sebarang transaksi jual tanah - LGM | DagangNews Skip to main content

Tiada sebarang transaksi jual tanah - LGM

Antara kenyataan yang tular di media sosial mengenai penjualan tanah oleh Lembaga Getah Malaysia.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Mei - Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengesahkan tiada sebarang urusan penjualan, pajakan atau urus niaga berkaitan 2 lot tanah milik agensi tersebut seperti yang ditularkan di media sosial.

 

Tanah tersebut membabitkan Lot 20012 dan Lot 20013 (masing-masing nombor lama dikenali sebagai Lot 75 dan Lot 76) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. 

 

Dalam hal ini, LGM memandang berat kenyataan tidak benar dan kesalahan fakta yang tular di media sosial berkaitan isu penjualan serta pajakan hartanah milik agensi tersebut, tegasnya seperti dalam kenyataan hari ini.

 

"Semua penjualan atau pajakan tanah milik LGM perlu mendapat perakuan lembaga ini terlebih dahulu sebelum dimajukan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali untuk kelulusan," katanya.

 

Jelas LGM, pihaknya telah menerima permohonan daripada beberapa syarikat bagi membeli Lot 20012 dan pertimbangan akan dibuat selaras dengan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan serta pandangan Jabatan Warisan Negara.

 

Katanya, bagi Lot 20013, tawaran pajakan telah dibuat secara tender terbuka dan telus oleh LGM Properties Corporation (LGMPC) iaitu perbadanan milik LGM, pada Oktober 2020. 

 

"Terdapat beberapa syarikat yang telah menghantar permohonan melalui tender tersebut. 

 

"Berdasarkan kriteria, proses dan prosedur yang ketat oleh LGMPC serta LGM, Al-Noor Foundation telah terpilih setelah membida dengan bidaan tertinggi.

 

"Namun begitu, keputusan bagi pajakan Lot 20013 dan penjualan Lot 20012 masih belum diputuskan oleh Lembaga Pengarah LGM. Ini bermaksud, ia belum diangkat untuk pertimbangan dan persetujuan menteri," jelasnya.

 

Sehubungan itu, LGM menegaskan tidak ada sebarang perjanjian pajakan atau transaksi jual beli yang termeterai dengan mana-mana pihak. 

 

Mengikut peraturan, katanya, semua penilaian hartanah sama ada untuk pajakan atau penjualan akan dirujuk kepada JPPH sebelum kadar pajakan serta nilai pasaran semasanya ditentukan supaya memberi pulangan hasil yang terbaik untuk LGM. - DagangNews.com