Tiada sekatan kenderaan perdagangan sepanjang PKP | DagangNews Skip to main content

Tiada sekatan kenderaan perdagangan sepanjang PKP

Kenderaan perdagangan. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Kenderaan perdagangan yang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dikenakan sekatan.

 

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) berkata, bagi tujuan ini, laluan khas akan disediakan di setiap Sekatan Jalan Raya (SJR).

 

"Sebagai makluman, tiada sekatan untuk kenderaan perdagangan beroperasi sepanjang tempoh PKP ini. 

 

"Bagi tujuan ini, laluan khas akan disediakan di setiap Sekatan Jalan Raya (SJR) dan pemandu kenderaan perdagangan hanya perlu mengemukakan surat pengesahan majikan untuk beroperasi jika diminta oleh pihak berkuasa," jelas MoT dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah MoT, bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan perdagangan juga, pemilik kenderaan tersebut tidak disyaratkan untuk mendapatkan surat kelulusan daripada MoT sebaliknya memadai dengan hanya mendapatkan surat pengesahan daripada majikan masing-masing.

 

Bagi syarikat-syarikat sektor logistik lain seperti freight forwarders, operator gudang yang berdaftar dengan persatuan, surat kebenaran MoT boleh diperoleh daripada persatuan masing-masing.

 

Jelas MoT, surat kebenaran daripada MoT dan bukti keahlian persatuan perlu disertakan sekiranya diminta oleh pihak berkuasa. 

 

Sementara itu, bagi syarikat yang tidak berdaftar dengan mana-mana persatuan, surat kelulusan daripada MOT boleh dimohon menerusi pautan https://application.mot.gov.my/.

 

Dalam kenyaataan sama, MoT turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

 

"Bagi pengguna pengangkutan awam, dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), mengamalkan penjarakan fizikal serta sentiasa menjaga kebersihan diri sebagai langkah pencegahan dalam berdepan penularan pandemik COVID-19. 

 

"Sebarang aduan / pertanyaan, sila e-mel ke aduan@mot.gov.my, atau WhatsApp ke 019-2907723 atau menghubungi Hotline MOT : 1800-88-7723 (8 pagi – 6 petang).

 

"Atau boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, MKN, di talian 03-88882010," jelas MoT lagi. - DagangNews.com