Tidak perlu isytihar darurat - Agong | DagangNews Skip to main content

Tidak perlu isytihar darurat - Agong

ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 25 Okt. - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah  bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak COVID-19 ini dengan baik dan berkesan.

Seri Paduka juga amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada merebak.

"Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia,” kata kenyataan tersebut.

Seri Paduka bertitah, perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

Jumaat lalu, Al-Sultan Abdullah berkenan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh Muhyiddin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang.

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan bagi menangani pandemik COVID-19 di negara ini.

Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan ahli-ahli politik untuk menghentikan segera segala mainan politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

"Seri Paduka Baginda turut berpendapat tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

"Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda juga menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara," katanya.  - DagangNews.com