Tiffany saman Louis Vuitton tidak jadi ambil alih RM66.62 bilion | DagangNews Skip to main content

Tiffany saman Louis Vuitton tidak jadi ambil alih RM66.62 bilion

PARIS/NEW YORK 10 Sept. - Tiffany & Co menyaman Louis Vuitton Malletier (LVMH) selepas syarikat barangan mewah Perancis itu memaklumkan kepada syarikat barang kemas Amerika Syarikat bahawa ia tidak dapat memuktamadkan pengambilalihan AS$16 (RM66.62) bilion disebabkan permintaan kerajaan Perancis dan impak pandemic COVID-19.

LVMH, diterajui bilionair Bernard Arnault, berkata Lembaga Pengarah syarikat itu telah menerima surat daripada Kementerian Luar Perancis supaya menangguhkan pengambilalihan itu sehingga 6 Januari 2021, berikutan ancaman tarif tambahan AS ke atas produk Perancis.

Oleh itu kata LVMH, menjadikannya mustahil untuk memenuhi kontrak tarikh akhir 24 November bagi memuktamadkan pengambilalihan, sambil menambah kata ia memang tidak bersedia meneruskan perjanjian itu.

Campur tangan kerajaan Perancis itu juga menandakan langkah terkini untuk cuba menggabungkan beberapa jenama fesyen mewah paling berprofil tinggi di dunia yang berasal dari Perancis.

“Saya yakin bahawa anda akan faham keperluan untuk turut serta di dalam usaha negara ini mempertahankan kepentingan nasional,” kata Menteri Luar Perancis,  Jean-Yves Le Drian dalam suratnya kepada Arnault, menurut terjemahan di dalam bahasa Inggeris surat bertarikh 31 Ogos yang diterima Tiffany daripada LVMH dan disiarkan semalam.

“Urus niaga itu tidak boleh berlaku. Kami dilarang memuktamadkan urus niaga,” kata ketua kewangan LVMH Jean Jacques Guiony kepada pemberita.

Sumber kerajaan Perancis berkata, surat tersebut mempunyai `nilai politik’ dan bertujuan memberi peringatan kepada LVMH mengenai risiko-risiko meneruskan urus niaga itu ketika Perancis bergelut dengan Amerika Syarkat mengenai tarif dagangan – tetapi ia sekadar nasihat dan bukan arahan.


 

ty
Tiffany menyaman LVMH kerana membatalkan urus niaga bernilai AS$16 bilion.


White House tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai campur tangan kerajaan Perancis di dalam urus niaga tersebut. Penganalisis bagaimanapun, skeptikal tujuan sebenar Perancis itu mahu menggunakan urus niaga LVMH sebagai alat percaturan di dalam pertikaian perdagangan dengan AS.

“Kerajaan Perancis jelas cukup aktif di dalam mempertahankan kepentingan nasionalnya. Tetapi di dalam kebanyakan kes, ia lebih kepada menghalang pengambilalihan syarikat Perancis,” kata Luca Solca, penganalisis barangan mewah di firma Bernstein.

Kesan kewangan daripada COVID-19 telah menyebabkan harga urus niaga itu menjadi kurang menarik bagi LVMH. Jualan global Tiffany merosok 29% kepada AS$747.1 juta di dalam tiga bulan berakhir 31 Julai lalu, terlepas sasaran AS$772 juta.

Menurut Reuters, tidak jelas sama ada LVMH mahu keluar sama sekali daripada urus niaga dengan Tiffany, atau sekadar menggunakan situasi semasa untuk merunding semula harga. Sehingga kini, Tiffany telah menolak cubaan untuk merunding semula harga yang telah dipersetujui.

Tiffany memfailkan sama terhadap LVMH di Delaware – negeri di mana syarikat itu didaftarkan, untuk memastikan LVMH menyempurnakan perjanjian yang dimeterai tahun lalu atau membayar ganti rugi. – DagangNews.com