TikTok tubuh Majlis Penasihat Keselamatan Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

TikTok tubuh Majlis Penasihat Keselamatan Asia Pasifik

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Aplikasi TikTok menubuhkan Majlis Penasihat Keselamatan Asia Pasifik yang akan memberi nasihat terhadap dasar kandungan secara sederhana serta isu kepercayaan dan keselamatan khusus di rantau itu.

Majlis itu terdiri daripada pakar dalam bidang kawal selia dan perundangan serta ahli akademik di seluruh rantau Asia Pasifik.

Pengarah Kepercayaan dan Keselamatan TikTok Asia Pasifik, Arjun Narayan berkata, pihaknya mengambil langkah positif dalam menambahbaik dasar dan pelbagai proses menerusi penubuhan majlis itu.

 

Arjun Narayan
Arjun Narayan

 

“Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan ahli pengasas majlis dan percaya mereka akan menyediakan nasihat yang membina, tegas dan jujur memandangkan TikTok berterusan mengukuhkan dasar kandungan di Asia Pasifik.

“Kami berharap dapat mengembangkan majlis ini dengan wakil-wakil dari pasaran rantau lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis Penasihat Keselamatan Asia Pasifik mengumpulkan kumpulan pemikir yang membantu membangunkan dasar menyeluruh bukan sahaja menangani cabaran pada masa kini, tetapi merangkumi pelan masa hadapan bagi isu-isu yang bakal dihadapi industri itu.

Majlis itu juga akan memainkan peranan penting dalam mengenalpasti isu terkini dan muncul di rantau itu yang boleh menjejaskan platform TikTok dan pengguna sekali gus membangunkan strategi untuk menanganinya.

Majlis Penasihat Keselamatan Asia Pasifik itu melibatkan Presiden Pakistan Software Houses Association IT & ITES serta Pengasas The Nest i/o, Jehan Ara; Pengasas Social Media Matters dari India, Amitabh Kumar; Pengarah Eksekutif  Management and Sustainable Development Institute dari Vietnam, Nguyen Phuong Linh; Pengasas DQ Institute dari Singapura, Dr. Yuhyun Park; Profesor Jabatan Psikologi Ochanomizu University dari Jepun, Prof. Akira Sakamoto; Profesor Keselamatan Industri Chung-Ang University dari Korea Selatan, Prof. Seungwoo Son; dan Aktivis serta Presiden MAFINDO dari Indonesia, Anita Wahid.

Setakat ini, TikTok telah meluas ke 150 negara dan rantau dalam 75 bahasa.  – DagangNews.com