KUALA LUMPUR 18 Mei - Tim aerobatik China, August 1st menjadi pasukan yang terawal tiba di Langkawi untuk menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023.
Tujuh buah pesawat J-10C August 1st mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kelmarin setelah berlepas dari Bangkok,Thailand.
Ini merupakan penyertaan kedua August 1st selepas LIMA 2015.
Buat pertama kali pasukan ini menggunakan pesawat pejuang generasi keempat terbaharu, J-10C pada pertunjukan udara di luar negara.
Sebelum ini ia mengoperasikan varian J-10A dan varian dua tempat duduk J-10S yang digunakannya sejak 2009.
Dengan penggunaan J-10C, China menjadi negara ketiga di dunia selepas Rusia dan Amerika Syarikat (AS) menggunakan pesawat pejuang generasi keempat untuk pertunjukan aerobatik.
Ini juga menjadi pentas pada China untuk mempamerkan teknologi terkini pesawat tempurnya kepada umum.
Selain itu, kehadiran pasukan aerobatik China ini juga bagi mengukuhkan lagi persefahaman dan hubungan diplomatik sedia ada dengan Malaysia.
Turut menyertai pasukan aerobatik ini ialah sebuah pesawat pengangkut strategik, Xian Y-20.
Pesawat buatan Xi'an Aircraft Industrial Corporation ini menyerupai pesawat C-17 Globemaster milik tentera Amerika Syarikat.
Selain daripada August 1, pasukan aerobatik yang menyertai LIMA 2023 ialah Jupiter dari Indonesia, Black Eagles (Korea Selatan), Russian Knights (Rusia) dan Al Fursan (Emiriah Arab Bersatu).
Bagi segmen maritim pula, tentera laut China menghantar kapal pemusnah peluru berpandu berpandu Type 052D Zhanjiang.
LIMA 2023 yang berlangsung selama lima hari bermula 23 Mei ini merupakan penganjuran terbesar berbanding edisi sebelumnya. - DagangNews.com