Tindakan PH rombak besar-besaran GLC akibatkan isu tadbir urus, kata Ketua Audit Negara | DagangNews Skip to main content

Tindakan PH rombak besar-besaran GLC akibatkan isu tadbir urus, kata Ketua Audit Negara

Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid 



PUTRAJAYA 24 Ogos – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang merombak syarikat-syarikat milik kerajaan di sesebuah kementerian telah mengakibatkan banyak jawatan utama organisasi tidak diisi, malah ada yang kosong sejak Jun 2018.

Ketiadaan seorang ketua pegawai eksekutif seperti ditetapkan, menimbulkan persoalan mengenai kelemahan daripada segi tadbir urus entiti GLC itu sendiri, kata Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Siri 1 Laporan Ketua Audit Negara 2019 dan menegaskan ketiadaan pengemudi itu berlaku sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 2018.

“Pakatan Harapan melakukan banyak penyusunan semula syarikat-syarikat mengakibatkan banyak jawatan penting tidak diisi.

“Satu daripadanya ialah Talent Corporation Bhd Malaysia (TalentCorp), yang telah beroperasi tanpa CEO sejak Jun 2018.

 

tc
Satu daripada iklan promosi TalentCorp.


“TalentCorp dahulunya di bawah selia Jabatan Perdana Menteri tetapi kini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manysia,’’ kata beliau.

Tanpa seorang CEO di TalentCorp, Nik Azman berkata, semua keputusan dibuat tanpa kelulusan lembaga pengarah dan Standard Prosedur Operasi (SOP) tidak dibentangkan kepada lembaga pengarah.

Nik Azman berkata, kerajaan telah meluluskan dana berjumlah RM367.57 juta berbentuk geran pembangunan dan RM124.85 juta bagi geran pengurusan untuk TalentCorp dari tahun 2011 hingga 2019.

Bagaimanapun kata beliau, tidak ada jawatankuasa audit ditubuhkan sejak terbentuknya TalentCorp.

“Ini membawa kepada ketidakcekapan pengurusan, terutama daripada segi pelaksanaan projek seperti Program Kepulangan Pakar,’’ katanya.

Bagi memperbetulkan kepincangan ini dan menambah baik GLC yang diaudit tersebut beliau berkata, Jabatan Audit Negara telah mengemukakan lebih daripada 50 cadangan bagi penambahbaikan terhadap kelemahan-kelemahan yang dibongkar. – DagangNews.com