Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Mac. - Jualan keseluruhan industri (TIV) bagi syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) bagi tahun 2021 diunjurkan sebanyak 237,000 unit.
MIDF Research berkata, unjuran tersebut adalah lebih rendah berbanding 240,000 yang disasarkan oleh syarikat itu sendiri.
"Jumlah sasaran jualan Perodua pada 2021 adalah sebanyak 240,000 unit (+9% tahun ke tahun) yang diharap mampu menghampiri rekod tertinggi pada 2019.
"Sasaran tersebut mungkin telah mengambil kira pelancaran model terbaharu iaitu Perodua Ativa.
"Unjuran TIV 2021 kami bagi Perodua adalah sekikit konservatif kepada 237,000 (+7.6% tahun ke tahun)," jelas MIDF Research.
Semalam, Perodua telah membuat pelancaran rasmi model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, Perodua Ativa.
Model tersebut mula dilancarkan dengan harga rasmi antara RM61,500 hingga RM72,000 sebelum insurans di Semenanjung Malaysia.
Baca: Harga rasmi Perodua Ativa lebih rendah, bermula RM61,500
Harga tersebut lebih rendah daripada harga tentatif RM62,500 hingga RM73,400 yang telah diumumkan sebelum ini, dan sah sehingga pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30 Jun nanti.
Pihak pengurusan Perodua turut memaklumkan bahawa model berkenaan telah menerima 5,000 tempahan sejak 19 Februari lalu.
Bagi sasaran bulanan pula, Perodua mensasarkan untuk menjual 3,000 unit bagi setiap bulan.
Sasaran itu adalah lebih tinggi berbanding model Arus (1,875/bulan), tetapi lebih rendah berbanding Bezza (4,750/bulan).
Tambah MIDF Research lagi, pelancaran Ativa itu memberi kelebihan kepada syarikat UMW Holdings dan MBM Resources.
Kedua-dua syarikat bersebut masing-masing memiliki 38% dan 22.5% kepentingan dalam Perodua.
Dalam nota kajian itu, MIDF Research mengekalkan penarafan 'positif' terhadap industri automotif. - DagangNews.com