TLDM bakal terima 13 bot pemintas laju secara berperingkat mulai tahun hadapan  | DagangNews Skip to main content

TLDM bakal terima 13 bot pemintas laju secara berperingkat mulai tahun hadapan 

TLDM memesan enam buah FIC bernilai RM80 juta pada Oktober 2020.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 28 Dis - Pembinaan 13 buah bot pemintas laju atau Fast Interceptor Craft (FIC) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berjalan lancar bagi memastikan ia dapat diserah mengikut jadual.

 

Bot buatan syarikat tempatan, Gading Marine Industry (M) Sdn. Bhd. (Gading Marine) itu dibina di limbungan syarikat tersebut di Kampung Acheh, Sitiawan, Perak.

 

FIC ini dijadualkan siap secara berfasa sehingga tahun 2024 yang mana empat buah bakal diterima TLDM pada tahun hadapan.

 

Difahamkan ketika ini tahap kemajuan projek telah mencapai tahap 15 peratus iaitu awal 40 hari berbanding dirancang. 


 

tldm
Limbungan syarikat Gading Marine di Setiawan, Perak.

 


Walaupun ini merupakan fasa awal pembinaan, namun kemajuan yang dipamerkan oleh pihak kontraktor membuktikan kemampuan untuk melaksanakan tempahan.

 

Perolehan 13 buah FIC ini sedikit sebanyak memberi sesuatu yang positif ketika TLDM dibelenggu isu membabitkan aset-aset usang.

 

Komitmen kerajaan ini menerusi Kementerian Pertahanan (MINDEF) menunjukkan bahawa keperluan TLDM untuk menambah aset tetap dilakukan berdasarkan peruntukan yang diberi.

 

Pembelian ini merupakan tambahan kepada enam buah FIC yang diterima TLDM pada April tahun lalu juga dibina Gading Marine.


 

tldm
Sepasukan pegawai TLDM semasa meninjau pembinaan FIC di limbungan Gading Marine di Setiawan.

 


TLDM memesan enam buah FIC bernilai RM80 juta pada Oktober 2020 dengan tender dibuka MINDEF pada pertengahan 2020.

 

FIC yang panjang 18 meter memiliki dua jentera 1,550 kuasa kuda dengan sistem dorongan jet ditempatkan di pangkalan utama TLDM seluruh negara.

 

Ia dikendalikan lima kru serta mampu membawa hingga lapan anggota Quick Reaction Force (QRF) pada satu-satu masa.

 

Pembelian FIC bukanlah bermaksud TLDM melaksanakan langkah berjimat kerana mungkin ada pihak beranggapan mengapa membeli bot dan tidak kapal perang.


 

tldm
FIC berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim negara.

 


FIC boleh digunakan untuk mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan seperti pendatang tanpa izin, penyeludupan, pelanunan, rompakan laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan nelayan asing.

 

Dengan kelajuan sehingga 50 knot, ia mampu memintas mana-mana bot yang menceroobh perairan negara dalam tempoh cepat.

 

Ia juga berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim negara terutama kepada kapal TLDM dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan di perairan cetek dan berpulau.

 

Berbanding kapal perang, semestinya mengoperasikan FIC tidak membebankan sesuai dengan saiz serta peranannya.

 

Susulan penerimaan bot-bot tersebut, MINDEF telah menyatakan komitmen untuk memiliki 13 lagi bot serupa bagi mengukuhkan lagi kekuatan TLDM khususnya dalam Op Benteng.

 

FIC juga boleh dipasang dengan tenggekan senjata kawalan jauh atau Remote Control Weapon Station (RCWS) yang membolehkan turet senjata menembak tanpa mendedahkan kru.


 

tldm

 


Bot ini boleh menjadi aset lebih berbisa di laut sekiranya dibekalkan dengan persenjataan yang ampuh misalnya pelancar grenad.

 

Bagaimana pun, semua FIC TLDM belum dilengkapi sistem RCWS tetapi mempunyai tenggekan untuk dipasang mesingan berat yang dikendalikan kru.

 

Penggunaan bot pemintas laju telah dipilih TLDM lebih 20 tahun lalu menerusi perolehan 17 buah bot CB90 daripada syarikat Dockstavarvet, Sweden. 


 

tldm

 

tldm

 


Pembelian bot-bot ini dilihat sebagai evolusi baharu pada TLDM ketika itu apabila memerlukan sebuah bot khusus bagi tugasan tinjauan dan rondaan di perairan Sabah Sarawak.

 

Bot-bot ini menjadi aset utama bagi pasukan yang bertugas di Terumbu Layang-Layang dan stesen TLDM dalam Gugusan Spratly.

 

Bot ini boleh mencapai kelajuan 44 knot dengan jarak maksimum operasi sejauh 440 kilometer. 


 

tldm
Bot CB90 telah mempamerkan prestasi yang baik sejak diguna 20 tahun lalu.

 


Bot CB90 sepanjang 15 meter dengan berat 18 tan boleh membawa 21 orang anggota tentera lengkap bersenjata dan 4.5 tan kargo.

 

Untuk persenjataan, ia boleh dilengkapi dengan mesingan 12.7mm dan pelancar grenad.

 

Difahamkan, TLDM mempunyai rancangan untuk menggantikan bot ronda CB90 dengan bot-bot FIC apabila tempohnya tiba kelak. - DagangNews.com