TLDM wajar pertimbangkan kapal terpakai imbangi kekurangan aset rondaan di laut | DagangNews Skip to main content

TLDM wajar pertimbangkan kapal terpakai imbangi kekurangan aset rondaan di laut

Frigat terpakai HMAS Anzac milik Australia walaupun masih baik tetapi kurang sesuai dengan keperluan TLDM.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Dalam tempoh tiga tahun lagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima sekurang-kurangnya dua kapal perang baharu untuk melengkapkan rancangan pemodenannya.

 

Kapal tempur pesisir (LCS) pertama, KD Maharaja Lela yang dijangka siap pada 2026 akan diserahkan kepada TLDM selain satu daripada tiga kapal misi pesisir (LMS) Batch 2.

 

Tiga kapal seterusnya memasuki inventori TLDM setahun kemudian iaitu kapal kedua LCS dan baki 2 buah LMS yang dibeli dari Turkiye.

 

 

Kesemua kapal LCS disasarkan siap pada tahun 2029, bermakna ketika itu TLDM telah memiliki lapan buah kapal perang baharu sepertimana dirancang.

 

Kapal
HMAS Anzac (kanan) bersama sebuah lagi kapal kelas sama, HMAS Arunta.

 

Kapal
Sistem peluru berpandu Harpoon menjadikan frigat HMAS Anzac berbisa.

 

Di atas kertas jumlah ini nampak seperti mencukupi tetapi sebenarnya tidak kerana lapan buah kapal perang ini sepatutnya telah melengkapi TLDM lima tahun lalu.

 

Bermakna, rancangan pemodenan TLDM ini telah mengalami kelewatan yang panjang.

 

Sebab itu timbul cadangan agar TLDM mempertimbangkan pembelian kapal perang terpakai kerana ia mempunyai rasional tersendiri terutama dalam mengimbangi aset sedia ada.

 

Apabila Kementerian Pertahanan (Mindef) menolak cadangan mendapat frigat HMAS Anzac milik Australia kerana tidak sesuai untuk kegunaan pertahanan negara, ini tidak bermakna aset laut terpakai tidak perlu.

 

HMAS Anzac seberat 3,600 tan merupakan frigat dengan keupayaan peperangan tiga dimensi yang mana ciri-ciri seperti ini memang dikehendaki TLDM.

 

Kapal
Tiga kapal peronda kelas Fearless milik Singapura yang dilucutkan tauliah yang mana dua daripadanya dihadiahkan kepada tentera laut Brunei.

 

Kapal berusia 28 tahun yang dibina berasaskan rekaan kapal perang Meko 200 menggunakan teknologi Jerman ini adalah terbaik memandangkan rekaan sama digunakan beberapa negara lain.

 

Jika mengira usia frigat, ia tidaklah terlalu tua dibandingkan dengan hampir sebahagian kapal-kapal TLDM melebihi 35 tahun sehingga 50 tahun.

 

Frigat paling canggih dimiliki TLDM, KD Jebat dan KD Lekiu misalnya telah berusia 25 tahun.

 

Cuma isu kesamaan peralatan selain kos perolehan yang tidak menguntungkan menyebabkan HMAS Anzac dikatakan tidak sesuai untuk dibeli.

 

HMAS Anzac dilengkapkan dengan sistem peluru berpandu RGM-84 Harpoon Block II yang sememangnya digeruni tetapi tidak pernah dikendalikan kru TLDM.

 

Kali terakhir TLDM membeli kapal terpakai ialah pada 1994 iaitu kapal pendarat USS Spartanburg County keupayaan Amerika Syarikat yang kemudian diberi nama KD Sri Inderapura.

 

Kapal
Kapal pendarat KD Sri Inderapura.

 

Kapal berusia 40 tahun itu dibina pada 1970 dan ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 1995 dengan kekuatan 324 anggota.

 

Pembelian kapal ini adalah menguntungkan negara yang pada masa itu sangat memerlukan kapal pengangkut logistik yang besar dan boleh belayar jauh.

 

KD Sri Inderapura menjadi kapal perang terbesar dimiliki TLDM sebelum terlibat dalam nahas kebakaran pada 8 Oktober 2009 di Pangkalan TLDM Lumut menyebabkan kapal ini musnah dan tidak boleh digunakan lagi. 

 

Kapal perang terpakai lain yang pernah dimiliki TLDM ialah KD Hang Tuah (bekas HMS Mermaid) yang dibeli pada tahun 1977.

 

Keadaan TLDM yang memerlukan kapal daripada aspek kuantiti dapat dilihat apabila armada tentera laut menggunakan semula dua kapal peronda kelas PC yang berusia 58 tahun.

 

Dua buah PC tersebut iaitu bekas kapal peronda KD Sundang dan KD Panah yang diselenggara dan dinaik taraf oleh MSET Shipbuilding Corporation Sdn. Bhd. (MSET) di Terengganu.

 

Kapal
Kapal PC KD Sri Sarawak dan KD Sri Sabah (kiri).

 

Kapal
Rekabentuk asal kapal PC yang berusia 58 tahun.

 

 

Bekas PC Panah ditauliahkan sebagai KD Sri Sarawak dengan nombor penant 48 manakala Sundang pula menjadi KD Sri Sabah (46).

 

Kapal-kapal ini yang dibina pada tahun 1966 oleh syarikat Vosper Thornycroft, England sebagai kapal peronda kelas Keris telah memainkan peranan besar kepada TLDM pada era tersebut sehingga ditamatkan perkhidmatan.

 

Jika bukan kapal perang jenis frigat, wajar jika Mindef mengintai kapal-kapal peronda terpakai atau jenis korvet untuk dibeli bagi keperluan rondaan di pantai.

 

Kapal peronda terpakai dalam usia 30 tahun misalnya dikira masih baik, dengan kapal jenis ini tidak memakan kos operasi yang besar.

 

Dengan situasi geopolitik semasa selain isu keselamatan di Laut China Selatan dan jenayah rentas sempadan, tanggungjawab TLDM besar untuk mengawal perairan negara. - DagangNews.com