TM ambil langkah kekang penularan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

TM ambil langkah kekang penularan COVID-19

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Telekom Malaysia Berhad (TM) bertindak proaktif dengan melaksanakan langkah-langkah berkesan bagi mengekang penularan COVID-19. 

Antaranya, segera menutup premis-premis yang terlibat untuk tempoh 7 hari bagi memudahkan proses nyahkuman dan
sanitasi mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. 

Kerja-kerja nyahkuman dan sanitasi di TM Annexe 1 dan nod rangkaian di Rawang telah selesai pada 14 Oktober 2020, Menara TM ONE pada 13 Oktober, manakala kerja-kerja di Menara TM sedang berjalan dan dijangka
akan selesai pada jam 5.00 petang hari ini. 

Dalam masa sama, pejabat-pejabat TM di Sabah, Kedah dan kawasan-kawasan Zon Merah yang lain telah ditutup lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan jumlah kes baru-baru ini.

Berkuat kuasa serta-merta juga, TM mengaktifkan aturan Kerja Dari Rumah (WFH) bagi semua warga TM di seluruh negara sehingga 31 Oktober 2020. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, lebih 4,700 orang anggota fungsi kritikal di TMpoint, pusat-pusat panggilan, pasukan lapangan untuk pemasangan dan baik pulih perkhidmatan akan terus mengetuai barisan hadapan yang berkhidmat untuk komuniti, perniagaan dan kerajaan di kawasan-kawasan Zon Merah.

"Kepada semua barisan hadapan TM dan Pasukan Tindak Balas Krisis (CRT) COVID-19 TM, setinggi-tinggi penghargaan dari kami kerana melangkah ke hadapan demi tugasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

TM hari ini mengesahkan sejak pengumuman sebelum ini pada 11 Oktober lalu, terdapat 10 lagi kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam kalangan anggotanya menjadikan jumlah 13 kes positif setakat ini.  - DagangNews.com