KUALA LUMPUR 25 April - Fokus utama Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk 2022 adalah untuk menyokong usaha kerajaan dalam membina negara pasca COVID-19 dengan menyiapkan diri bagi merebut peluang dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpuan, Imri Mokhtar berkata, TM sudah memasuki tahun kedua transformasi dan syarikat itu sudah bersedia untuk berhadapn dengan sebarang cabaran pada tahun ini.
"Dengan pemansuhan sekatan kawalan pergerakan di Malaysia dan ekonomi yang semakin pesat, kami terus komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara.
"Kami akan memberi fokus kepada agenda nasional melalui sokongan berterusan bagi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan rancangan MyDIGITAL, membolehkan infrastruktur gentian 4G dan 5G di seluruh negara serta mengembangkan liputan jalur lebar gentian kami," katanya dalam Laporan Tahunan 2021 kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Imri berkata, pihaknya juga memberi komitmen kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan secara progresif akan mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak 30% menjelang 2024, 45% menjelang 2030 dan pelepasa sifar pada 2050.
"Dari segi sosial, TM akan menyediakan Internet berkelajuan tinggi di sekurang-kurangnya 70% premis di seluruh negara.
"Kami juga akan memiliki sekuarang-kurangnya 30% wanita dalam lembaga pengarah dan pengurusan bagi memainkan peranan dalam membuat keputusan," katanya, lapor Bernama.
Dalam pada itu, Imri berkata, peluang baharu akan terus berkembang dalam dunia mudah alih, perusahaan dan sektor awam, terutamanya dalam sambungan 5G, perkhidmatan digital dan internet kebendaan (IoT), pusat data dan penyelesaian awan.
"Dalam usaha memenuhi permintaan dan cabaran ini, kami meweujudkan lebih banyak program untuk kekal selari dengan trajektori perkembangan syarikat dan terus maju untuk menjayakan Digital Malaysia," katanya.
Beliau juga berkata, pihaknya juga akan mewujudkan penyelesaian inovasi dan memacu penggunaan digital merentasi pangkalan pelanggan yang luas bagi pelanggan rumah, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelanggan korporat serta kerajaan. - DagangNews.com