TM, Tata Communications tawar sambungan berkelajuan tinggi di rantau ASEAN | DagangNews Skip to main content

TM, Tata Communications tawar sambungan berkelajuan tinggi di rantau ASEAN

 

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Telekom Malaysia Berhad (TM), penyedia infrastruktur sambungan dan digital negara menerusi unit global dan borongnya, TM Wholesale dan Tata Communications, menjalin kerjasama bagi menawarkan sambungan yang stabil, berkelajuan tinggi dan diyakini di rantau ASEAN.

 

Tata Communications adalah anak syarikat milik penuh penggerak ekosistem digital global, Tata Communications International Pte Ltd.

 

Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md Deris berkata, kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan internet dengan capaian global yang lebih meluas buat penyedia-penyedia perkhidmatan di Malaysia dan negara-negara jiran bagi memenuhi keperluan rangkaian IP yang semakin meningkat. 

 

"Malah, kerjasama ini mengukuhkan komitmen kami terhadap para pelanggan bagi membawakan perkhidmatan rangkaian bertaraf dunia, dan membawa kami selangkah ke hadapan ke arah merealisasikan aspirasi kami sebagai hab digital yang diyakini di rantau ASEAN. 

 

"Ia turut menandakan komitmen kami dalam menyokong inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) ke arah mewujudkan Digital Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kerjasama ini membolehkan penyedia perkhidmatan, pengendali rangkaian mudah alih dan penyedia perkhidmatan internet di rantau ini memenuhi peningkatan permintaan sambungan data daripada pelanggan mereka dengan menyediakan akses kepada rangkaian Protokol Internet (IP) Tier 1 global. 

 

Ia akan membantu membawakan perkhidmatan Transit IP (IPT) Tier 1 yang diyakini dan stabil, iaitu perkhidmatan sambungan internet yang membolehkan pengguna akhir mengakses semua laman web dan kandungan di internet. 

 

Ini akan mempertingkatkan lagi pertumbuhan sektorsektor seperti e-dagang, hiburan dalam talian, peruncitan, perbankan dalam talian dan perkhidmatan penghantaran yang semakin berkembang pesat akhir-akhir ini.

 

Di bawah perjanjian ini, Tata Communications akan meluaskan liputan perkhidmatan IPTnya dengan memanfaatkan pusat data TM, serta sambungan dan infrastruktur rangkaian TM yang meluas di Malaysia. 

 

Kerjasama ini turut membolehkan Tata Communications mengoptimumkan kebolehcapaian TM di rantau ASEAN menerusi rangkaian terrestrial dan kabel dasar laut ke negara-negara jiran. 

 

Kabel-kabel dasar laut ini termasuklah kabel dasar laut Malaysia-Cambodia-Thailand untuk sambungan ke Indochina dan, kabel dasar laut Gerbang Nusantara untuk sambungan ke Indonesia.

 

Pada masa sama, TM akan memperolehi manfaat daripada rangkaian IP Tier-1 global milik Tata Communications bagi memberikan perkhidmatan kepada pelanggan di lebih dari 190 buah negara dan wilayah, justeru meluaskan lagi liputan IP transit TM dan mempertingkatkan penawaran serantau TMiX.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Tata Communications, Sumeet Walia berkata, ekosistem penyedia perkhidmatan di seluruh rantau ASEAN akan memperoleh manfaat daripada kerjasama bersama TM dan memberikan mereka akses kepada sambungan transit penyedia internet Tier-1 yang boleh diskalakan dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi.

 

"Dengan menawarkan perkhidmatan transit IP berkapasiti tinggi dan berlatensi rendah ke dan dari Malaysia untuk para pelanggan kedua-dua syarikat, kami membawakan sinergi bagi menyediakan platform IP yang lebih teguh, selamat dan fleksibel," katanya. - DagangNews.com