KUALA LUMPUR 15 Ogos - RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan harga sasaran pada RM8.60 di sebalik cadangan penyenaraian TNB Power Generation Sdn. Bhd. atau dikenali sebagai TNB Genco.
Firma itu menyifatkan ia bukanlah sesuatu yang menghairankan jika TNB menerokai penyenaraian perniagaan penjanaan kuasanya berikutan penyusunan semula dalaman sejak 2019.
Menurutnya, penyenaraian berasingan itu membolehkan pelabur mempunyai pilihan dalam pelbagai perniagaan TNB dengan sifat yang berbeza.
"Bagaimanapun, TNB Genco perlu menunjukkan keupayaannya untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) kerana dana institusi serantau tertentu mungkin mempunyai sekatan untuk melabur dalam syarikat utiliti yang mempunyai pendedahan arang batu yang tinggi.
"Oleh itu, kami berpendapat, cadangan penyenaraan ini mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya 2 hingga 3 tahun untuk direalisasikan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan Reuters pada Jumaat lalu yang memetik sumber, TNB dilaporkan akan memulakan proses penyenaraian TNB Genco pada tahun hadapan.
Dilihat bakal menjadi tawaran awam permulaan (IPO) terbesar negara dalam sedekad, TNB Genco, dianggar bernilai kira-kira AS$4 bilion.
Hasil daripada penyenaraian itu akan digunakan untuk mengembangkan portfolio RE TNB Genco.
Namun, menurut RHB Research, TNB belum membuat 'keputusan muktamad berhubung dengan inisiatif yang berpotensi ini' dan pada masa ini memberi tumpuan untuk meningkatkan prestasi operasinya.
Buat masa ini, katanya, TNB mempunyai jumlah kapasiti sebanyak 24GW dengan 45% dalam arang batu, 34% (gas) dan 16% (RE).
"TNB Genco merekodkan hasil sebanyak RM19.5 bilion dalam FY21 manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM3.6 bilion dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM661 juta," katanya.
Dalam pada itu, firma tersebut positif dengan TNB selepas ia memperoleh lanjutan perjanjian pembelian tenaga (PPA) bagi projek solar berskala besar 4@MEnTARI (LSS4) di Bukit Selambau, Kedah.
"Secara keseluruhan, ia positif kepada TNB kerana ini membolehkan ia mendapatkan balik pelaburan dengan lebih cekap, dan sedikit meningkatkan kadar pulangan dalaman (IRR).
"Kami mengekalkan anggaran kami kerana kesan kepada pendapatan dan penilaian adalah agak minimum," tambahnya.
Setakat 10.46 pagi, harga sahamnya menokok 13 sen atau 1.51% kepada RM8.76 dengan 833,600 saham diniagakan. - DagangNews.com