TNB kekal utuh, tidak terjejas PKP 3.0 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

TNB kekal utuh, tidak terjejas PKP 3.0 - Maybank IB

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Maybank Investment Bank (IB) Research kekal optimis terhadap prospek Tenaga Nasional Bhd (TNB) memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak seteruk PKP 1.0 tahun lalu.

 

Firma itu mendapati penjanaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia menyusut kira-kira 8.5% sejak PKP secara menyeluruh dilaksanakan 1 Jun 2021, berbanding 24% kepada PKP 1.0 antara Mac hingga Mei 2020.

 

"Kami menjangkakan setiap bulan PKP akan mengurangkan permintaan penjanaan elektrik bagi tahun kewangan 2021 sekitar 0.7%, atau semuanya sama.

 

"Setakat ini, PKP yang berjalan selama sebulan, menyaksikan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia masih meningkat bagi tahun ini," katanya dalam nota kajian. 

 

TNB mencatatkan keuntungan RM973.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021, naik 32 peratus berbanding RM736.7 juta pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatannya, menyusut 1.5 peratus kepada RM11.48 bilion berbanding RM11.65 bilion berikutan jualan elektrik yang lebih rendah.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata dengan aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula, penguncupan dalam permintaan elektrik semakin mengecil daripada 12.9 peratus pada tahun kewangan 2020 kepada 0.3 peratus pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2021.

 

Menurut Maybank IB, TNB sebahagian besarnya terlindung daripada turun naik permintaan kecuali segmen perkhidmatan pelanggan, merangkumi kira-kira RM1.7 bilion perolehan tahunan, yang mengalami risiko permintaan.

 

"Pendapatan tahunan selebihnya yang dikawal selia adalah kira-kira RM13.8 bilion, yang mana apa-apa kekurangan akan ditampung dengan dana industri.

 

"Malah, bagi setiap bulan pelaksanaan PKP akan menyaksikan, penurunan yang terurus sekitar RM97 juta," tambahnya. 

 

Jelas firma berkenaan, berbanding dengan PKP sebelum itu, TNB berdepan isu hutang lapuk dan kerugian Sabah Electricity, yang mana ia tidak seteruk ketika ini. 

 

Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan TNB bagi tahun ini akan terus meningkat terutama dengan dengan lanjutan tempoh kawal selia kedua (RP2). 

 

Harga sasaran saham TNB juga kekal tidak berubah pada RM12, menurutnya lagi. - DagangNews.com