TNB komited kekalkan prestasi sistem bertaraf dunia di sebalik persekitaran mencabar  | DagangNews Skip to main content

TNB komited kekalkan prestasi sistem bertaraf dunia di sebalik persekitaran mencabar 

TNB akan terus melaksanakan peranannya sebagai pembekal elektrik negara dan sentiasa memastikan rakyat mendapat akses kepada tenaga. - Gambar : Unsplash/karya Catalin Pop

KUALA LUMPUR 1 Jun - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) komited untuk mengekalkan prestasi sistem bertaraf dunia sekali pun dalam persekitaran operasi yang mencabar, demikian menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din.

 

Ini berikutan keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 menurun 10.5% kepada RM900 juta meskipun pendapatan meningkat 36.4% kepada RM15.7 bilion didorong 4% peningkatan dalam permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia.

 

Jelas beliau, biarpun berdepan tempoh sukar, syarikat utiliti itu terus melaksanakan peranannya sebagai pembekal elektrik negara dan sentiasa memastikan rakyat mendapat akses kepada tenaga berdaya harap pada harga berpatutan, seterusnya menerangi kehidupan seluruh rakyat Malaysia.

 

Katanya, pelaburan berterusan TNB akan memastikan infrastruktur sedia ada terus beroperasi dengan cekap sambil mencapai Hala Tuju Kelestarian kumpulan yang berlandaskan aspirasi menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. 

 

Pada tahun-tahun mendatang juga, tambah beliau, TNB memberi tumpuan kepada menyokong usaha kerajaan dalam membina semula ekonomi negara.

 

"Bagi menangani isu kenaikan harga bahan api fosil, TNB bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan kebajikan golongan yang memerlukan dilindungi, di samping menjaga kesinambungan rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Baharin Din
Baharin Din

 

 

Pada suku pertama 2022, jualan elektrik adalah lebih tinggi adalah sejajar dengan fasa peralihan ke endemik dan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5%, didorong penggunaan (elektrik) lebih tinggi direkodkan oleh pelanggan komersial dan domestik setelah aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi semula.

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dilaporkan pada RM5.1 bilion manakala margin EBITDA ialah 32.8%, disumbangkan oleh perbelanjaan operasi lebih tinggi yang meningkat sebanyak 64.1% berikutan kenaikan harga bahan api.

 

Kos penjanaan tenaga, termasuk kos bahan api, membentuk lebih 65 peratus daripada tarif asas. Kenaikan harga bahan api fosil, terutama arang batu, telah meningkatkan kos penjanaan tenaga negara.

 

Sehubungan itu, menurut Baharin, kerajaan berterusan mengekalkan rangka kerja IBR dan berjaya membendung impak turun naik harga bahan api melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT). 

 

Beliau memberitahu, sejak pengenalan rangka kerja IBR, sebanyak RM8.6 bilion rebat ICPT telah dinikmati pengguna di samping RM5.3 bilion surcaj dilepaskan kepada mereka.

 

“Biarpun prestasi sistem kami mencapai taraf dunia, kami tetap terus melabur dalam infrastruktur terutamanya untuk meningkatkan daya harap menerusi pelaksanaan grid pintar. 

 

"Rangkaian pembekalan memainkan peranan penting dalam menggerakkan peralihan tenaga negara, justeru, perancangan dan pembangunan infrastruktur secara berterusan adalah penting," jelasnya.

 

 

TNB

 

 

Beliau berkata, TNB sedang membangunkan Utiliti Pintar menjelang 2025, bagi membolehkan pelanggan mendapat akses dan pengurusan penggunaan tenaga yang lebih baik; mengoptimumkan voltan dan aliran tenaga dua arah untuk meningkatkan integrasi sistem penjanaan tenaga milik pelanggan; sokongan penjanaan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), meningkatkan keupayaan rangkaian dan dan kawalan automatik.

 

“Selain prestasi kewangan dan teknikal yang kukuh, kami sedar akan keperluan untuk menyahkarbon teras dan membina perniagaan mampan sejajar hala tuju kami. 

 

"Pada tahun lalu, kami fokus kepada memastikan mekanisme sewajarnya disediakan sebagai persiapan menuju sasaran tersebut,” tambahnya.

 

Pada 2021, TNB mengumumkan Hala Tuju Kelestariannya yang merupakan satu pelan tindakan dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, disokong komitmen mengurangkan 35% intensiti pelepasan karbon serta 50% daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

 

Untuk mencapai matlamat ini, anak syarikat penjanaan TNB, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) merancang mempercepatkan penyahkarbonannya melalui pengurusan risiko peralihannya dengan meningkatkan portfolio tenaga boleh baharu, mengupaya penggunaan arang batu secara lebih bersih, dan menggunakan teknologi baru secara progresif untuk mengurangkan pelepasan karbon.

 

Projek empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang yang bermula tahun ini, bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) tenaga boleh baharu kepada Grid Nasional apabila siap pada 2026. 

 

Ia akan meningkatkan kestabilan bekalan di Semenanjung Malaysia, khususnya ke wilayah timur, sekali gus memberikan faedah tambahan kepada negeri Kelantan dari segi tebatan banjir, bekalan air bersih dan air mentah untuk pengairan.

 

TNB Genco, yang kini menjana 50% tenaga di Malaysia, sedang berusaha untuk memanjangkan hayat stesen janakuasa hidro sedia ada iaitu stesen janakuasa Sungai Perak, Kenyir dan Cameron Highlands dan akan memanfaatkan bahan api ammonia rendah karbon dalam teknologi pembakaran sekali gus memerangkap karbon di stesen janakuasa arang batunya, dalam usaha mengurangkan intensiti pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG).

 

Menurut Baharin, TNB menyokong penuh usaha kerajaan untuk meletakkan negara di landasan lebih mampan, sejajar strategi jangka panjang TNB. 

 

"Harapan kami, bersama-sama dapat mencapai aspirasi, untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan, dan pada masa sama memenuhi matlamat ke arah dunia yang lebih baik dan kehidupan yang lebih sejahtera buat semua,” tambahnya.

 

 

solar

 

 

Di peringkat antarabangsa, melalui Bahagian Tenaga Baharu (NED), TNB berusaha mengukuhkan perniagaannya pada masa hadapan dengan mengembangkan jejak RE secara global melalui penggabungan dan pemerolehan, pembangunan aset dan mewujudkan perkongsian strategik dengan pemain-pemain industri RE terkemuka.

 

Anak syarikat milik penuh TNB, Vantage RE Ltd (Vantage RE) telah dilancarkan pada 1 Julai 2021 untuk memiliki, mengendalikan dan mengurus portfolio aset tenaga boleh baharu TNB di UK dan Eropah.

 

Pada Oktober 2021, Vantage RE meningkatkan portfolio RE TNB dan matlamat sifar bersih dengan pengambilalihan 49% kepentingan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) daripada EDF Renewables (EDFR), anak syarikat kepada syarikat utiliti Perancis, Électricité de France (EDF). 

 

Ia juga telah menyelesaikan pemerolehan 100% kepentingan dalam portfolio angin dalam pesisir 97.3MW di United Kingdom (UK) pada April 2022.

 

Kedua-dua pengambilalihan itu merupakan pemerolehan strategik terancang untuk TNB mempercepatkan perjalanannya melaksanakan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

 

Sehingga kini, ia telah mencapai 530MW portfolio RE termasuk angin luar pesisir, angin dalam pesisir dan ladang solar di UK.

 

Baharin menyifatkan pengambilalihan itu sebagai kejayaan berterusan TNB dalam pelaksanaan strategi kumpulan untuk mengembangkan portfolio RE dalam pasaran tumpuan seperti di UK dan Eropah.

 

"Ini akan mempercepatkan peralihan TNB ke arah masa depan tenaga baharu melalui penjanaan karbon rendah, sejajar Hala Tuju Kelestarian TNB dan visi ESG secara keseluruhannya,” tegas beliau. - DagangNews.com