TNB rangkul anugerah ARC, NACRA & ACGS | DagangNews Skip to main content

TNB rangkul anugerah ARC, NACRA & ACGS

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Laporan Tahunan Bersepadu 2019 Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertemakan ‘Building Relationships, Creating Value’ merangkul empat anugerah bagi kualiti dan standard tinggi penerbitannya.

 

Syarikat tenaga nasional itu memenangi dua anugerah emas dan satu perak pada Annual Reports Competition (ARC) International Awards ke-34 anjuran MerComm Inc yang berpangkalan di New York.

 

TNB turut memenangi anugerah emas pada National Annual Corporate Awards (NACRA) 2020, yang dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia Berhad (Bursa), Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

 

Bagi anugerah ARC, TNB merangkul angerah emas bagi kategori Non-Traditional Annual Report: Electric Power Company dan Interior Design: Electric Power Company, selain anugerah perak untuk kategori Cover Photo/Design: Electric Power Company.

 

Pelbagai organisasi korporat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari 76 negara mengambil bahagian dalam anugerah ARC. Ia mengiktiraf organisasi tersebut dari segi kecemerlangan laporan tahunan yang diterbitkan. Ia juga menggalakkan penulisan yang menarik dan penting, selain reka bentuk yang kreatif dan asli.

 

Penyertaan laporan tahunan dinilai oleh hakim berkecuali dengan markah antara satu hingga 100. Laporan tahunan yang tersenarai dalam kedudukan 30 peratus teratas selepas penilaian dianugerahkan Emas, Perak, Gangsa dan Penghormatan (Honors).

 

Untuk NACRA, TNB dan enam lagi syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia menggondol anugerah bagi kategori syarikat dengan lebih RM10 bilion modal pasaran.

 

Garis panduan NACRA memastikan standard dan kualiti penerbitan laporan tahunan adalah sejajar dengan keperluan semasa dan perkembangan global. Pada tahun 2020, NACRA memperkenalkan rangka kerja baharu yang menerapkan elemen kelestarian dan pelaporan bersepadu, sejajar dengan jangkaan yang sentiasa berkembang.

 

Amir Hamzah Azizan
                                              Amir Hamzah Azizan

 

Mengulas mengenai kejayaan kumpulan yang terlibat dalam penerbitan laporan tahunan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Meskipun bekerja dari rumah berikutan penularan wabak COVID-19, kumpulan itu berjaya menghasilkan laporan yang bermutu.

 

“Anugerah yang diterima adalah bukti bahawa walaupun berdepan dengan waktu yang mencabar, dedikasi, kerja keras dan yang paling utama iaitu semangat kerjasama mereka membuahkan hasil yang cemerlang.

 

“Pihak Pengurusan TNB berbangga dengan semangat kerjasama, satu daripada enam nilai teras yang diterapkan untuk mengukuhkan ikatan antara 35,000 warga kerja TNB ke arah matlamat yang sama, iaitu menjadikan TNB sebagai peneraju tenaga boleh baharu di ASEAN,” kata Amir Hamzah.

 

Sementara itu, TNB turut merangkul ASEAN Asset Class Award di ASEAN Corporate Governance Scorecard (ACGS) Awards 2019, bersama 36 syarikat tersenarai awam Malaysia yang lain.

 

Anugerah itu, yang diumumkan oleh Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG), mengiktiraf 37 syarikat tersenarai awam berikutan amalan tadbir urus korporat yang cemerlang dan wajar dijadikan contoh.

 

Penilaian ACGS adalah kerjasama antara ASEAN Capital Markets Forum (ACMF) dan Asian Development Bank (ADB) yang menjadi sebahagian daripada inisiatif ASEAN Corporate Governance yang diperkenalkan pada 2011.

 

Ia bertujuan meningkatkan tahap tadbir urus korporat antara syarikat tersenarai awam ASEAN, selain mengiktiraf syarikat ASEAN yang mengamalkan tadbir urus korporat yang baik. - DagangNews.com