KUALA LUMPUR 21 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat subsidiari milik penuhnya, Allo Technology Sdn Bhd (Allo) meluaskan lagi akses rakyat kepada capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dengan terkini menghubungkan 56,132 kediaman di enam kawasan di negeri Perak.
Kawasan-kawasan yang menerima manfaat infrastruktur ini di negeri Perak ialah Sungai Rapat (16,483 premis), Kinta (17,144), Menglembu (12,497), Papan (4,598), Silibin (2,790) dan Tasek (2,620).
Pencapaian itu menjadikan lebih 180,000 premis meliputi di Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor berada dalam rangkaian kemudahan tersebut, yang menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.
Bermula dengan projek menghubungkan 17,000 kediaman di Melaka, Allo kini giat melengkapkan rangkaian infrastruktur gentian optik di enam lagi negeri terlibat dengan sasaran menghubungkan 300,000 premis di Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun ini.
Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin berkata, keupayaan TNB menerusi Allo untuk memberi perkhidmatan berasaskan teknologi yang melangkaui perkhidmatan elektrik di negeri Perak ini, adalah manifestasi keupayaan syarikat untuk memastikan rakyat mendapat liputan jalur lebar yang meluas sejajar dengan hasrat kerajaan.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Perak yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di Ipoh, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed; Ketua Pegawai Kawalselia & Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman; Ketua (Pengurusan Anak Syarikat), Bahagian Strategi dan Ventures TNB, Dr. Ahmad Jaafar Abd Hamid; dan Ketua Pegawai Eksekutif, ALLO Technology Sdn Bhd, Rodzi Ahmad.
Matlamat utama JENDELA adalah mengadakan akses jalur lebar talian tetap berkelajuan Gigabit kepada 7.5 juta premis, mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih dan meluaskan liputan rangkaian jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpenduduk.
Jelas Hasan, kemudahan ini membolehkan lebih ramai penduduk luar bandar Perak mendapat akses kepada internet jalur lebar pada harga yang berpatutan, sekali gus memperkasakan rakyat menerusi aspek-aspek seperti pembangunan ekonomi digital, pendidikan dan pembangunan komuniti, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi mencabar akibat pandemik COVID-19.
Rakyat boleh menggunakan internet untuk mendapatkan informasi, mengakses laman pembelajaran dan melakukan pelbagai urusan seharian seperti perbankan dan pembayaran bil serta pelbagai urus niaga secara dalam talian.
Rangkaian gentian optik ke rumah (FTTH) itu dimanfaatkan menerusi konsep Rangkaian Akses Terbuka (open access). Allo sebagai penyedia rangkaian akses terbuka meluaskan potensi capaian HSBB menerusi kerjasama dengan tujuh pembekal perkhidmatan runcit atau Retail Service Providers (RSP) seperti Maxis, Astro, Digi, Celcom, U Mobile, Freshtel dan Redtone yang menawarkan pelbagai pakej-pakej internet menarik kepada rakyat.
“Peranan TNB menerusi Allo dalam menjayakan JENDELA membuktikan komitmen berterusan kami menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera di dunia yang lebih baik, Better, Brighter. Peranan menerangi kehidupan dengan membekalkan elektrik diperteguhkan lagi dengan mempersiapkan rakyat dan negara menghadapi Revolusi Industri 4.0 melalui capaian jalur lebar yang meluas,” kata Hasan.
Menurutnya, tunjang kepada perkhidmatan ini adalah talian fiber optik sepanjang 18,000 km milik TNB di samping capaian infrastruktur meluas kepada para pelanggan seperti tiang-tiang elektrik TNB di seluruh Semenanjung.
''Inilah kelebihan TNB selaras dengan aspirasinya sebagai pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa,'' kata beliau.
Pada majlis itu juga, Saarani dan Hasan serta tetamu kenamaan lain, bersama-sama menanam anak-anak pokok mangga, durian belanda dan ciku sebagai simbolik menyumbang kepada kelestarian masa depan alam sekitar.
Ia menepati aspirasi Hala Tuju Kelestarian TNB yang menyumbang kepada langkah menangani perubahan iklim serta memenuhi agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi tuntutan global. - DagangNews.com