TNB serah tajaan RM2 juta jayakan Liga Hoki TNB-MHL | DagangNews Skip to main content

TNB serah tajaan RM2 juta jayakan Liga Hoki TNB-MHL

 Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol (kiri) menyerahkan penajaan RM2 juta kepada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu majlis simbolik di Ibu Pejabat TNB, Khamis lalu.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol (kiri) menyerahkan penajaan RM2 juta kepada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu majlis simbolik di Ibu Pejabat TNB, Khamis lalu.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerahkan tajaan sebanyak RM2 juta kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi menjamin kelangsungan penganjuran Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) yang baru saja berakhir Sabtu lalu. 

 

Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, komitmen itu diteruskan meskipun berada keadaan sukar susulan pandemik COVID-19 yang memaksa liga berkenaan dilangsungkan secara gelembung sukan sepenuhnya bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekali gus meningkatkan kos penganjuran.

 

"TNB sentiasa menyokong usaha-usaha memartabatkan sukan hoki dan ini merupakan kesinambungan komitmen kami dalam melahirkan pemain-pemain hoki bertaraf dunia," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan penajaan RM2 juta tersebut kepada Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu majlis simbolik di Ibu Pejabat TNB, Khamis lalu.

 

Turut hadir, Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek; Ketua (Public & Internal Relations) TNB, Ir. Shah Nawaz Asan Gany dan Pengurus Kanan (Brand Implementation) TNB, Wan Hairul Razli Wan Ahmad.

 

Tajaan itu secara tidak langsung merupakan sebahagian daripada komitmen penjanaan TNB kepada sukan hoki negara untuk tahun 2021.

 

TNB telah menjadi penaja utama liga hoki kebangsaan sejak 2006 yang menjadi gelanggang mempertemukan pemain-pemain utama hoki tempatan untuk dipilih dan digandingkan dalam skuad kebangsaan.

 

Liga TNB-MHL dilihat semakin matang sehingga dapat memikat bintang-bintang untuk beraksi sebagai pemain import kepada pasukan-pasukan tempatan sepanjang tempoh liga. 

 

Bagi tahun ini, keadaan tersebut bagaimapun terhad kepada pemain tempatan berikutan penutupan pintu sempadan akibat COVID-19.

 

Sementara itu, Subahan dalam satu kenyataan melahirkan kesyukuran terhadap komitmen TNB meneruskan tajaan dan menyemarakkan sukan hoki tanah air sekali pun dalam keadaan sukar.

 

"Kami (KHM) amat bertuah. Bagi sukan hoki negara kami amat bersyukur kerana TNB tidak pernah mengecewakan, apatah lagi banyak urusan dan aktiviti lain di negara ini, terjejas akibat pandemik,” katanya. - DagangNews.com