SHAH ALAM 29 Ogos - Memupuk semangat, azam dan keberanian generasi masa hadapan untuk kekal kental mendepani cabaran adalah kunci kepada kesinambungan sesebuah negara, lebih-lebih lagi dalam keadaan yang serba mencabar kini.
Justeru, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil dengan iklan yang bertajuk “Deklarasi Anak Malaysia” sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Sejajar dengan tema sambutan tahun ini “Malaysia Prihatin”, ia memaparkan kegigihan dan kesatuan rakyat Malaysia berbilang bangsa menghadapi krisis dan cabaran untuk menikmati masa depan yang lebih cerah.
Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman berkata, sambutan kemerdekaan yang diadakan saban tahun bukan sekadar satu hari keraian buat warga Malaysia, namun ia harus menjadi sambutan yang berupaya menyuntik semangat partriotik ke dalam jiwa, untuk sepakat bersama menerajui Malaysia.
Diinspirasikan daripada ucapan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika membaca Pemasyhuran Kemerdekaan pada tahun 1957, filem tersebut mendapat sentuhan pengarah terkenal Kabir Bhatia.
Disebalik laungan ikonik “Merdeka!” oleh Tunku ketika itu, mesej penting dalam ucapan beliau yang masih relevan sehingga kini menggambarkan kepentingan menjaga kesejahteraan dan bekerjasama untuk masa depan negara yang lebih cerah.
Dalam filem tersebut, seorang kanak-kanak yang memakai pakaian seperti dipakai Tunku ketika membaca Pemasyhuran Kemerdekaan berucap dengan penuh semangat tatkala kanak-kanak lain tampil melakonkan watak masing-masing.
Filem tersebut memaparkan semangat, keprihatinan dan ketabahan rakyat Malaysia, khususnya wira-wira petugas barisan hadapan yang gigih mendepani cabaran yang dilalui baru-baru ini menerusi pelbagai watak lakonan kanak-kanak tersebut.
Dengan diakhiri laungan “Merdeka!” oleh barisan pelakon cilik, filem tersebut secara tidak langsung menyuntik semangat patriotik dan rasa syukur ke dalam minda penonton.
“Ia juga meyampaikan mesej harapan kepada generasi masa hadapan untuk bersatu membentuk dunia yang lebih baik, seperti yang dapat dihayati melalui ucapan Tunku.
“Hanya apabila kita bersatu, semangat kita sebagai rakyat Malaysia akan menjadi lebih kuat untuk menghadapi cabaran yang mendatang,” kata Roslan.
“Deklarasi Anak Malaysia” mula ditayangkan pada hari ini (29 Ogos 2020) di saluran YouTube TNB (youtube.com/TENAGA official). Turut diterbitkan ialah klip-klip yang memaparkan adegan di belakang tabir serta temubual bersama pelakon cilik yang memegang watak Tunku dan lain-lain. - DagangNews.com