TNB, Suruhanjaya Tenaga dan PDRM bekerjasama siasat kejadian renjatan elektrik | DagangNews Skip to main content

TNB, Suruhanjaya Tenaga dan PDRM bekerjasama siasat kejadian renjatan elektrik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan maut membabitkan tiga beradik perempuan dipercayai terkena renjatan elektrik di kawasan rumah mereka yang ditenggelami air di Kampung Morak, Tumpat, Kelantan hari ini.

 

TNB dalam satu kenyataan berkata, TNB bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkenaan seperti Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan tersebut.

 

Katanya, TNB mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

 

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian ini dan membuat spekulasi, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan sisatan di samping menghormati perasaan dan sensitiviti keluarga mangsa," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, TNB turut mengulangi peringatannya kepada orang ramai agar tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami banjir kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus.

 

Katanya, TNB akan memastikan keselamatan orang ramai sentiasa diutamakan, termasuk dengan memutuskan sementara bekalan elektrik ke kawasan yang ditenggelami air banjir atas faktor keselamatan. 

 

 

tnb

 

 

"Penyambungan semula bekalan akan dibuat dengan kadar segera sebaik ia selamat dilakukan," katanya.

 

Orang ramai disarankan untuk sentiasa menjaga keselamatan dan menghubungi talian 1-300-88-5454 bagi melaporkan pepasangan TNB yang berada dalam keadaan bahaya. - DagangNews.com