CapitaLand catat peningkatan pendapatan hartanah bersih sebanyak RM65.5 juta bagi 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

CapitaLand catat peningkatan pendapatan hartanah bersih sebanyak RM65.5 juta bagi 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) mencatatkan peningkatan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM65.5 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24).

 

Disokong sumbangan pendapatan daripada Queensbay Mall, Plaza Gurney, Plaza Sungei Wang, 3 Damansara dan Hab Logistik Valdor serta sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada hartanah runcitnya, hasil kasar untuk 2QFY24 menyaksikan peningkatan sebanyak 8.5% kepada RM113.7 juta.

 

Pada 3QFY23, pendapatan boleh agih meningkat 16.2% kepada RM33.3 juta dengan agihan seunit (DPU) bagi suku ini mencecah 1.17 sen, menandakan kenaikan 10.4% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024, pendapatan boleh agih berjumlah RM66.9 juta, mewakili peningkatan 38.1% daripada RM48.4 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Sdn. Bhd. (CMRM), Tan Choon Siang berkata, CLMT terus mencatatkan prestasi kewangan kukuh bagi separuh pertama 2024 dengan strategi pengurusan serta pajakannya yang proaktif menghasilkan kadar penghunian yang lebih tinggi serta pengembalian sewa yang positif di kebanyakan hartanah runcit.

 

Katanya, pengenalan konsep runcit baharu dan tawaran penyewa serta program pengaktifan pembeli yang menarik telah meningkatkan kehadiran pelanggan dan jualan penyewa.

 

"Kami akan memulakan fasa seterusnya dalam inisiatif peningkatan aset di Plaza Gurney bagi menghidupkan semula campuran penyewaannya berikutan pengubahsuaian jalan masuk dan konfigurasi semula unit Sports Direct & USC.

 

"Pelanggan boleh menantikan tawaran baharu kepada pasaran dan konsep runcit yang menarik secara progresif apabila inisiatif baharu kami siap pada separuh kedua 2024.," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, pembinaan Pusat Pengedaran Glenmarie berada di landasan yang betul untuk disiapkan pada suku keempat tahu ini.

 

"Kami akan terus mencari peluang pelaburan dalam sektor logistik dan perindustrian dengan disiplin kewangan, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan bagi meningkatkan daya tahan dan kualiti portfolio kami," katanya.- DagangNews.com