TNB tutup 123 pencawang di Pahang, Johor akibat banjir | DagangNews Skip to main content

TNB tutup 123 pencawang di Pahang, Johor akibat banjir

Pemandangan dari udara kawasan pencawang elektrik yang ditenggelami air bah di Johor. - Bernama

 

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara 123 pencawang elektrik di Pahang dan Johor melibatkan 5,767 pengguna berikutan banjir yang berlaku. Tujuh pencawang menerima bekalan daripada set janakuasa bergerak.

 

Setakat jam 5 petang semalam, 100 pencawang ditutup di Pahang di daerah Temerloh, Maran, Jerantut, Raub dan Kuala Lipis melibatkan 3,837 pengguna. Empat pencawang menerima bekalan menerusi set janakuasa bergerak.

 

TNB turut memberi bekalan kepada 10 pusat pemindahan di Kuala Lipis yang tidak menerima bekalan daripada pencawang melalui set janakuasa bergerak dan set janakuasa mudah alih.

 

Setakat jam 6 petang di Johor pula, keadaan banjir yang semakin teruk memerlukan TNB untuk menutup 23 pencawang di daerah Johor Bahru, Kluang dan Kota Tinggi melibatkan 1,930 pengguna. Tiga pencawang di Johor masih mendapat bekalan menerusi set janakuasa bergerak.

 

TNB terpaksa menutup pencawang elektrik ketika banjir demi keselamatan pengguna dan sentiasa berusaha memulihkan bekalan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB.

 

Bagi kawasan yang dilanda banjir di negeri Kelantan, Terengganu dan Perak, tiada penutupan pencawang elektrik dilakukan TNB memandangkan keadaan masih terkawal.

 

Bagi memastikan pengurusan banjir yang berkesan, TNB telah mengaktifkan bilik gerakan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor untuk tujuan pemantauan selain bagi menyampaikan maklumat berkaitan bekalan.

 

Pengguna di kawasan banjir dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang. - DagangNews.com