Tomei terima kelulusan SC struktur ekuiti bagi penyenaraian YXPM | DagangNews Skip to main content

Tomei terima kelulusan SC struktur ekuiti bagi penyenaraian YXPM

Kedai emas Tomei di Pusat Beli-Belah AEON Taiping, Perak. - Gambar hiasan
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 16 Feb – Syarikat barang emas, Tomei Consolidated Bhd memperoleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap cadangan struktur ekuiti bagi cadangan penyenaraian empat subsidiari milik penuhnya di Pasaran ACE.

 

Empat subsidiari Tomei itu ialah Yi Xing Goldsmith Sdn Bhd, Gemas Precious Metals Industries Sdn Bhd, Emas Assayer Sdn Bhd dan GPM Refinery Sdn Bhd.

 

Keempat-empatnya akan digabung di dalam syarikat tujuan khas dinamakan YX Precious Metals Bhd (YXPM) apabla disenaraikan kelak.

 

Dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia, Tomei berkata, pihaknya menerima kelulusan SC bertarikh 15 Februari 2022 bagi penyenaraian YXPM.

 

Menurutnya, perkara yang diberi perhatian ialah peruntukan saham bersamaan dengan nilai 12.5% saham terbitan diperbesarkan semasa penyenaraian YXPM bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI.

 

‘’Selain itu, YXPM itu kelak akan menawarkan sekurang-kurangnya 50% saham yang ditawarkan kepada orang ramai menerusi cabutan undi kepada pelabur Bumiputera,’’ kata Tomei.

 

Keempat-empat syarikat itu terlibat di dalam perniagaan logam berharga, terutama pemborongan, reka bentuk dan pembuatan, perkhidmatan ujian dan memperhalusi barang kemas.

 

Menurut laporan media sebelum ini, Tomei menyatakan keempat-empat entiti itu memiliki aset bersih diaudit yang digabungkan bernilai RM52.1 juta setakat 31 Disember 2020.

 

Bagi tujuan penyenaraian itu, YXPM bakal menerbitkan saham sebanyak 111.65 juta, mewakili 30% modal saham diperbesarkan.

 

Mengikut cadangan asal, ia mewakili 18.61 juta saham baharu (5%) bagi rakyat Malaysia; 11.16 juta (3%) bagi pengarah dan kakitangan yang layak di dalam Tomei Group dan orang berkaitan; 18.61 juta (5%) bagi pemegang saham Tomei yang layak dan baki 17% diterbitkan secara penempatan persendirian.

 

Tomei merancang menggunakan dana yang dijana dari proses Tawaran Awam Permulaan (IPO) untuk membeli mesen dan peralatan baharu bagi perluasan operasi dan menyokong modal kerja YXPM.

 

“Apabila sempurna cadangan penyenaraian kelak, kepentingan ekuiti Tomei di dalam YXPM akan menurun kepada 70%, daripada kepentingan 100% sekarang,’’ kata laporan itu. – DagangNews.com