Top Glove peruntuk RM195 juta bina kediaman pekerja | DagangNews Skip to main content

Top Glove peruntuk RM195 juta bina kediaman pekerja

Top Glove. Kredit gambar Reuters

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Selepas terkesan dengan penularan wabak COVID-19 di kawasan asrama pekerja, Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) tampil dengan inisiatif penyelesaian lebih baik dengan menyediakan pelaburan modal sehingga RM195 juta bagi membina kediaman pekerjanya.

 

Dalam sesi taklimat maya bersama wakil kedutaan Nepal dan Bangladesh yang dijalankan hari ini, Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai berkata, pelaburan dalam tempoh tiga tahun sehingga 2023 itu selaras dengan komitmen pihaknya untuk memastikan kebajikan pekerja terus menjadi keutamaan.

 

"Kami terus komited untuk memastikan 21,000 pekerja Top Glove terus dijaga kebajikan dan keselamatannya. 

 

"Komitmen kami kepada kakitangan, termasuk pekerja asing ini tidak hanya untuk menjaga kepentingan mereka, malah pasti memberi impak positif dalam memastikan syarikat dapat terus mengeluarkan produk berkualiti," jelasnya seperti dilapor Berita Harian.

 

Sepanjang 2020, Top Glove melalui fasa pertumbuhan yang sangat positif sekali gus berjaya mewujudkan asas kukuh bagi mendepani cabaran tahun-tahun mendatang.

 

Perkembangan tersebut secara tidak langsung memberi rangsangan kepada pihak Top Glove untuk terus komited menjaga kebajikan pekerja.

 

Sementara itu, Ketua Kawalan Kewangan Top Glove, Melissa Cheoh Hooi Gaik memberitahu, syarikat akan membina empat blok kediaman di Klang, Selangor untuk memuatkan 4,200 pekerja bernilai RM40 juta sehingga Ogos tahun depan.

 

Dalam pada itu, Top Glove akan turut melabur RM95 juta untuk membeli dua blok kondominium bagi kemudahan 2,700 pekerja di Klang, yang dijangka dimuktamadkan menjelang Februari 2022.

 

"Di Banting pula, kami akan membangunkan tiga blok kediaman dengan blok 1 siap pada Julai ini, manakala blok 2 dan 3 masing-masing pada Julai 2022 dan Julai 2023. Ia dapat dimanfaatkan 3,100 pekerja dengan pelaburan mencecah RM30 juta.

 

"Kami juga akan melabur RM30 juta untuk kemudahan penginapan pekerja di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor," katanya. - DagangNews.com