Top Glove tidak pasti impak sekatan CBP ke atas kewangan, operasi | DagangNews Skip to main content

Top Glove tidak pasti impak sekatan CBP ke atas kewangan, operasi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Mac - Syarikat sarung tangan terbesar dunia dari Malaysia, Top Glove Corporation Berhad tidak dapat menentukan sejauh mana impak sekatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) di Amerika Syarikat (AS) terhadap aspek kewangan dan operasi kumpulan. 

 

Buat masa ini, pihak perundangan kumpulan syarikat di AS sedang berhubung dengan wakil-wakil dari CBP untuk memperoleh pencerahan dan maklumat lanjut berhubung arahan yang dikeluarkan itu, kata Top Glove di Bursa Malaysia.

 

“Syarikat sebelum ini telah menghantar laporan yang disediakan oleh perunding antarabangsa bebas, yang dilantik untuk  semakan CBP. 

 

"Dalam kenyataan yang diterbitkannya pada 9 Mac 2021, perunding antarabangsa bebas itu berpendapat bahawa perkembangan lebih lanjut telah dicapai berkaitan dengan petunjuk buruh paksa dan mempertimbangkan tindakan berterusan Top Glove, penemuan tersebut tidak sama dengan sistem buruh paksa,” jelas Top Glove.

 

Tambah pengeluar sarung tangan itu, pihak berkepentingannya akan mengambil langkah yang perlu untuk menangani isu tersebut seterusnya mengeluarkan pengumuman lanjut berhubung perkembangan isu berkenaan.

 

CBP dalam sebuah kenyataan hari ini mendakwa bahawa pihaknya mempunyai bukti cukup untuk 'menuduh' Top Glove menggunakan buruh paksa dalam menghasilkan sarung tangan pakai buangnya.  

 

Baca : AS ada bukti cukup sekat sarung tangan Top Glove

 

Sehubungan itu, jabatan berkenaan telah mengarahkan kakitangannya di pintu masuk pelabuhan AS untuk mula merampas sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh syarikat sarung tangan terbesar dunia tersebut.

 

Sementara itu, Top Glove menerusi sebuah kenyataan berbeza berharap dapat menerima maklumat yang berkaitan dan bekerjasama dengan CBP secepat mungkin untuk menyelesaikan isu berkenaan. 

 

“Syarikat sebelum ini telah mengemukakan laporan bertarikh 16 Mac 2021 yang disiapkan oleh perunding antarabangsa bebas di United Kingdom (UK), Impactt Limited (Impactt) kepada CBP untuk semakan serta telah mengambil semua langkah yang diletakkan sebagai syarat oleh CBP untuk memastikan semua isu itu ditangani.

 

“Oleh itu, syarikat berterusan mengambil tindakan pemulihan lanjut untuk meningkatkan lagi amalan dan langkah kawalan dalaman kami berkaitan dengan pengurusan buruh. 

 

“Kami komited untuk menjadi syarikat terbaik, memastikan kesejahteraan, kesihatan, keadaan pekerjaan selamat dan tempat tinggal yang berkualiti tinggi bagi tenaga kerja kami,” jelas Top Glove.

 

Setakat 4.13 petang, nilai saham Top Glove menyusut 28 sen atau 5.54% kepada RM4.77. - DagangNews.com