NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 5 Nov - UMW Toyota Motor (UMWT) mula menerima tempahan bagi model kemas kini terbaharu Hilux selain Fortuner dan Innova pada harga bermula RM92,880 tanpa insurans.
Bagi model Fortuner dan Innova, ia akan dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dan jualannya akan bermula pada Januari 2022.
Ketiga-tiga model berkenaan, yang menjadi barisan kenderaan IMV (Innovative International Multi-Purpose Vehicle) yang diberikan penambahbaikan dari aspek kelesesaan serta kelangkapan selain enjinnya ditala untuk menepati standard kawalan emisi yang lebih ketat sebelum pelaksanaan Euro4 pada 2022.
“Barisan kenderaan IMV merupakan kejayaan besar di Malaysia dan juga pasaran lain di seluruh dunia, memberikan mobiliti yang boleh diharap dan tahan lasak kepada ramai orang.
"Hilux misalnya, menjadi trak pikap terlaris di Malaysia untuk tempoh lama, bahkan hari ini juga kami masih menerima permintaan yang lebih tinggi berbanding bekalannya.
"Walaupun begitu, usah khuatir kerana kilang pemasangan kami giat berusaha untuk memenuhi tempahan yang masih berbaki, tanpa mengorbankan kualiti,” ujar Presiden UMWT, Ravindran K dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Toyota Hilux merupakan trak pikap terlaris di negara ini dan ia didatangkan dalam lima varian dengan dua pilihan enjin turbodiesel empat silinder iaitu 2.4 dan 2.8 liter dengan kedua-dua enjin ditala untuk kecekapan bahan api menerusi penggunaan mod Eco.
Selain itu varian kabin berkembar ditawarkan menerusi Hilux Rogue 2.8, 2.4 V dan 2.4 E, menggunakan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem 4x4 manakala Hilux Double Cab 2.4 G dan Single Cab 2.4 dilengkapi dengan transmisi manual enam kelajuan dan juga dengan sistem 4x4.
Toyota Fortuner, SUV saiz sederhana ini hadir dalam tiga varian iaitu Fortuner 2.8 VRZ, Fortuner 2.7 SRZ dan Fortuner 2.4 pada harga permulaan RM169,167 tanpa insurans.
Bagi versi terkini, pendingin hawa depan Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ kini juga dijadikan dua zon untuk membolehkan larasan suhu berasingan antara pemandu dan penumpang depan selain pad pengecas tanpa wayar untuk telefon yang serasi juga kini standard untuk semua varian.
Sistem janaan kuasa yang sama dan telah terbukti prestasinya digandingkan bersama transmisi automatik enam kelajuan dan juga sistem 4x4.
Innova merupakan MPV paling ideal bagi pengguna yang memerlukan lapan-tempat duduk dan ruang barangan yang luas dan kini ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0X, 2.0G dan 2.0E pada harga bermula RM115,553.
Walaupun saiz kabin untuk semua varian ini sama, Innova 2.0X datang dengan kerusi kapten saiz besar di tengah dengan senarai kelengkapan standard yang banyak, penumpang Innova boleh duduk selesa sepanjang perjalanan.
Kesemua tiga model ini didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan bagi Fortuner dan Innova, dengan maksimum 150,000 km bagi Hilux (tertakluk terma dan syarat).-DagangNews.com