Trafik penumpang udara 2021 dijangka menguncup sehingga 80% - Mavcom | DagangNews Skip to main content

Trafik penumpang udara 2021 dijangka menguncup sehingga 80% - Mavcom

 

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyemak semula trafik penumpang udara bagi tahun ini dengan menjangkakan ia menguncup antara 77 hingga 80.2%.

 

Unjuran ini melibatkan antara 5.3 hingga 6.1 juta penumpang dalam tempoh berkenaan susulan prestasi separuh pertama yang kurang memberangsangkan. 

 

Menerusi Laporan Industri Waypoint edisi ke-9 yang diterbitkan hari ini, Mavcom  mendapati jumlah trafik penumpang udara pada suku kedua 2021 mencapai 1.3 juta, terendah sejak suku kedua 2020, yang merekodkan hanya 800,000 penumpang udara disebabkan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

Tetapi, ia menunjukkan pertumbuhan sebanyak 62% tahun ke tahun disebabkan kesan asas yang rendah.

 

Semakan semula Mavcom ini adalah lebih rendah berbanding unjuran yang dibuat Mavcom pada April lalu iaitu sebanyak 18.9 juta hingga 20.6 juta penumpang.

 

Ia mempertimbangkan faktor muatan yang lebih rendah serta tempoh pemulihan kapasiti tempat duduk yang lebih lama oleh syarikat-syarikat penerbangan.

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, industri penerbangan masih merupakan industri yang paling teruk terjejas susulan impak penularan wabak COVID-19. 

 

Katanya, walaupun trend masa hadapan menunjukkan kemungkinan peningkatan penerbangan domestik apabila kadar vaksinasi meningkat dan sekatan perjalanan dilonggarkan bagi penumpang yang telah diberi dos suntikan vaksin lengkap tetapi pemulihan sektor ini tetap tidak menentu. 

 

"Melangkaui isu penularan wabak ini, Mavcom sedang bekerja keras berunding dengan pemain-pemain industri, untuk bersedia menghadapi lonjakan sektor penerbangan. 

 

"Ini amat penting bagi semua pihak berkepentingan untuk bersiap sedia bagi pasaran baharu yang akan didominasi oleh pelancong yang sensitif terhadap harga. 

 

"Sehubungan itu, Mavcom berharap pengurangan dan pembendungan kos menjadi keutamaan bagi syarikat penerbangan dan juga pengendali lapangan terbang," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Berdasarkan laporan Waypoint berkenaan, di sebalik penyusutan trafik penumpang udara, jumlah kargo Malaysia meningkat sebanyak 80.4% tahun ke tahun pada suku kedua 2021.

 

Keadaan ini disebabkan permintaan tinggi terhadap vaksin, peralatan perubatan, peralatan pelindung diri, komponen elektrik dan elektronik (E&E) serta pertumbuhan kukuh yang dilihat dalam industri e-dagang. 

 

Mavcom meramalkan jumlah trafik kargo udara pada 2021 akan meningkat antara 26.5% dan 28.2% tahun ke tahun dan pulih kembali ke tahap sebelum krisis.

 

Walaupun penularan wabak COVID-19 masih tinggi, Mavcom melaporkan bahawa pemain-pemain utama kargo di Malaysia telah menambah laluan udara. 

 

Ini menunjukkan terdapat kemungkinan peningkatan jumlah operasi kargo Malaysia dalam masa terdekat. 

 

Raya Airways dan World Cargo Airline (WCA) juga telah menaiktaraf lesen mereka dari Permit Perkhidmatan Udara (ASP) kepada Lesen Perkhidmatan Udara (ASL).

 

Setakat 30 Jun 2021, Mavcom telah meluluskan 100% daripada 34 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) yang diterima pada separuh pertama tahun ini. - DagangNews.com