Trak MAN TGX baharu dapat permintaan tinggi | DagangNews Skip to main content

Trak MAN TGX baharu dapat permintaan tinggi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mac -  MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) percaya terdapat permintaan pasaran yang tinggi untuk model utama barisan MAN Truck Generation Baharu yang mematuhi pelepasan Euro V yang dilancarkan baru-baru ini.

 

Berikutan penampilan pertamanya di Malaysia, MAN TGX serba baharu dengan bumbung tinggi dan ruang pemandu terbesar di antara semua model MAN Truck Generation Baharu, akan ditawarkan bersama model yang lebih dikenali, MAN TGS yang fleksibel dan serba boleh menjadi model pilihan dalam pasaran.


 
Dengan lebar luaran 2440 mm, panjang 2280 mm dan ketinggian 2150 mm, MAN TGX serba baharu direkacipta untuk perjalanan jarak jauh merentas sempadan yang biasanya memakan masa beberapa hari.

 

Kabin yang luas menawarkan ruang simpanan lebih daripada 520 liter manakala ketinggian berdiri 2100 mm membolehkan pergerakan mudah untuk pemandu dan pembantu pemandu. 


 
MAN TGX serba baharu dikuasakan oleh enjin diesel MAN D2676 LF08 Euro V terbukti dengan kuasa maksimum 540 hp, tork maksimum 2,500 Nm dan pelepasan karbon jauh lebih rendah untuk mematuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) lebih ketat yang merupakan norma dalam dunia perniagaan hari ini.


 
Kotak gear MAN TipMatic® 12-kelajuan menjanjikan strategi perlepasan dan pertukaran gear yang lancar untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan menawarkan tahap keselesaan pemanduan dan operasi yang tinggi.

 

Pada November 2021, MAN menjadi pengeluar trak pertama di Malaysia yang menawarkan enjin Euro V sebagai standard untuk seluruh rangkaian produknya.


 
Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks berkata, langkah tersebut menunjukkan azam syarikat untuk menyokong hasrat Malaysia untuk mencapai status neutral karbon menjelang 2050.

 

 

man
Andrew O’Brooks (kanan) bersama Datuk Henry Sum Agong ketika pelancaran MAN TGX di MCVE 2022


 
“Kami ingin mencabar syarikat pengangkutan di Malaysia untuk turut menyertai perjalanan dan mengambil langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan kadar segera. 

 

"Di Eropah, kenderaan pengangkutan jarak jauh menghasilkan sebanyak 27% gas CO2. Malaysia seharusnya bertindak sekarang untuk mengurangkan jejak karbonnya dan industri kenderaan komersial serta kenderaan perkhidmatan awam boleh memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi cabaran alam sekitar ini," katanya.


 
MAN Truck Generation Baharu dengan enjin Euro V sebagai standard ialah rangkaian produk serba baharu yang mendahului dalam orientasi pemandu, kecekapan bahan api, sistem bantuan, rangkaian digital dan paling penting sekali, kemampanan. 

 

 

man

 

 

Industri pengangkutan seharusnya melabur semula dalam trak baharu yang memenuhi kriteria ini terutamanya dalam persekitaran perniagaan semasa yang menuntut pematuhan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang ketat.


 
Permintaan yang tinggi sejak dilancarkan hanya kira-kira 4 bulan lalu menunjukkan bahawa banyak syarikat pengangkutan di Malaysia berfikiran ke hadapan dan berkongsi kepercayaan kami bahawa kita mesti melakukan lebih banyak untuk alam sekitar sekarang dan bukannya kemudian.

 

 

man

 

 

MAN TGX telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong di Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2022.


 
Di MCVE 2022, MAN Malaysia secara rasmi menandatangani perjanjian jual beli dengan Sea Hawk Global Lines Sdn Bhd, Biforst Logistics Sdn Bhd dan Azmi Gas Sdn Bhd. - DagangNews.com