TSH Resources optimis capai prestasi memuaskan pada 2023 didorong keyakinan terhadap prospek industri minyak sawit | DagangNews Skip to main content

TSH Resources optimis capai prestasi memuaskan pada 2023 didorong keyakinan terhadap prospek industri minyak sawit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - TSH Resources Berhad optimis kumpulan itu akan mencapai prestasi yang memuaskan pada 2023 didorong keyakinan mereka terhadap prospek jangka panjang industri minyak sawit.

 

Lembaga pengarah kumpulan itu juga percaya dengan pertumbuhan penduduk global dan pendapatan per kapita, permintaan untuk minyak sawit akan kekal berdaya tahan pada tahun-tahun akan datang kerana ia adalah minyak sayuran yang paling cekap dengan harga kompetitif.

 

Katanya, sejak awal 2023, pergerakan harga minyak sawit mentah (MSM) terikat pada julat yang stabil selepas 2022 yang tidak menentu.

 

Bagaimanapun, ia masih terdedah kepada ketidaktentuan faktor makroekonomi luaran dan risiko yang berpunca daripada peningkatan ketegangan geopolitik antara Rusia dan Ukraine.

 

Kumpulan itu berkata, dasar eksport minyak sawit Indonesia juga akan menimbulkan beberapa ketidaktentuan kepada harga MSM di Malaysia dan Indonesia.

 

"Harga MSM disokong pada paras semasa sekitar RM4,000 bagi setiap tan berikutan kemarau yang berterusan di Argentina yang boleh mengakibatkan kerugian tanaman kacang soya, hujan yang lebih lebat daripada biasa di kawasan kelapa sawit utama dan pelaksanaan program biodiesel B35 Indonesia.

 

"Prospek permintaan yang rapuh berikutan kelembapan ekonomi dan tekanan inflasi, ditambah dengan perbelanjaan isi rumah yang ketat pada kadar faedah asas yang tinggi di dalam dan di peringkat global mungkin menimbulkan risiko penurunan harga MSM," katanya dalam Laporan Tahunan 2022 di Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, pertumbuhan global dijangka perlahan menjelang pada tahun ini dan ia mungkin sedikit terjejas akibat situasi kewangan global yang lebih ketat dan inflasi yang tinggi.

 

Katanya, bank pusat terutamanya dalam ekonomi maju, telah membuat beberapa pusingan pelarasan dasar monetari untuk membendung inflasi.

 

"Ini telah membawa kepada limpahan ketara kepada ekonomi pasaran sedang pesat membangun, melalui mata wang yang lebih lemah, keadaan kewangan yang lebih ketat dan eksport yang lebih perlahan.

 

"Walaupun inflasi dijangka berkurangan pada 2023, ia berkemungkinan kekal di atas purata di tengah-tengah peningkatan kos bahan mentah, tenaga dan pengangkutan serta pasaran tenaga kerja yang ketat," katanya. - DagangNews.com