TT Vision fokus kepada inovasi baharu, penuhi permintaan industri semikonduktor - Rakuten Trade | DagangNews Skip to main content

TT Vision fokus kepada inovasi baharu, penuhi permintaan industri semikonduktor - Rakuten Trade

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - TT Vision Holdings Berhad diunjur terus memberi fokus kepada pembangunan inovasi baharu bagi memenuhi permintaan dalam industri semikonduktor.

 

Rakuten Trade Research berkata, pada ketika ini kumpulan itu memberi tumpuan kepada pembangunan serta pembuatan peralatan penglihatan mesin, menyediakan produk serta perkhidmatan berkaitan pemeriksaan optoelektronik, tenaga solar dan kegunaan dalam sistem robotik. 

 

Katanya, kumpulan itu juga memacu inovasi dengan pengenalan tawaran baharu seperti wafer AOI, peralatan AXI, Solar Wafer Sorter, dan Tandem Cell Photoluminescence (PL) bagi pemeriksaan papan litar.

 

"Kumpulan itu secara strategiknya berada dalam sektor pertumbuhan tinggi, membekalkan rumusan LED kepada sektor automotif, sel solar serta komponen bagi kegunaan kenderaan elektrik (EV) dan elektronik pengguna.

 

"Sektor-sektor ini dijangka mengalami pertumbuhan positif pada masa hadapan. Terutamanya, industri automotif dan solar bersedia untuk pengembangan yang stabil, sejajar dengan inisiatif nyahkarbom global melalui penggunaan kenderaan elektrik dan tenaga solar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu meramalkan pertumbuhan pendapatan FY24 hingga FY25 yang kukuh dengan purata sekitar 34%, disokong peluang pasaran baharu dan memanfaatkan industri pertumbuhan tinggi.

 

Katanya, kumpulan itu juga memiliki buku pesanan sebanyak RM72 juta pada 31 Oktober 2023 diterjemahkan kepada 1.4x pendapatan FY22.

 

"Kami menjangkakan kadar penambahan buku pesanan yang sihat disokong permintaan bertambah baik bagi sektor semikonduktor automotif, dijangka bermula pada 4QFY23 atau awal tahun depan," katanya.

 

Rakuten Trade mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 99 sen sesaham.- DagangNews.com