Tuai Residence tampil konsep kediaman mesra upaya | DagangNews Skip to main content

Tuai Residence tampil konsep kediaman mesra upaya

 Tuai Residence

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Pemaju perumahan terkenal, Suntrack Development Sdn. Bhd. melancarkan projek terbaharunya iaitu Tuai Residence@Setia Alam yang direka berkonsepkan kediaman mesra upaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Suntrack, James KK Tan berkata, kediaman tersebut dibina dengan penekanan terhadap keselamatan semua lapisan umur serta mengfokuskan kepada pembinaan komuniti inklusif.

"Pandemik COVID-19 telah mengetengahkan beberapa isu asas dalam masyarakat seperti kehidupan warga emas dan golongan kelainan upaya yang kekurangan akses kepada kemudahan dan kekurangan kawasan komuniti bagi aktiviti sosial.

"Tuai Residence terhasil daripada kajian selama tiga tahun bagi meneliti batasan dalam kebolehcapaian serta halangan kepada pergerakan bebas di rumah," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
 

 Tuai Residence


Projek tersebut merangkumi 330 unit kondominium dengan nilai pembangunan kasar RM194 juta.

Kediaman tersebut dibina dengan penekanan terhdap aspek keselamatan kanak-kanak dan warga emas berkonsepkan mesra usia bagi membolehkan kehidupan berdikari untuk warga emas dan golongan kelainan upaya.

Rekaan tersebut turut berpandukan bimbingan dan khidmat nasihat daripada pakar Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) iaitu Prof. Madya Dr. Naziaty Mohd. Yaacob dari Fakulti Seni Bina, Universiti Malaya.
 

 Tuai Residence


Menerapkan konsep UD pada bilik tidur dan tanda tertentu di dalam setiap unit kondominium memberi ruangan yang besar kepada jejari pusingan kerusi roda.

Tambahnya, antara ciri UD lain termasuk pintu dengan kelebaran 900mm di ruang umum, pintu khas di dalam unit, tanjakan (ramp) untuk memasuki tempat letak kereta, suis elektrik pada ketinggian 1200mm dan penurapan jubin taktil di koridor umum bagi membantu penghuni yang mempunyai masalah penglihatan.

"Langkah keselamatan juga dimaksimumkan dengan penyediaan perenjis kebakaran (fire sprinkler) di ruang umum selain ruang perlindungan kebakaran di setiap aras kediaman.

"Tangga kecemasan juga direka dengan lebih lebar bagi memudahkan penggunaan katil usung.

"Kediaman ini juga akan menyediakan Unit Jagaan (Care Office) yang akan dikendalikan oleh seorang jururawat berdaftar dan penjaga bertauliah untuk membantu penghuni yang mengalami kesemasan perubatan," jelasnya.
 

 Tuai Residence


Unit jagaan tersebut disediakan oleh syarikat penyediaan khidmat penjagaan di rumah berasaskan piawaian Australia yang juga rakan kerjasama Suntrack iaitu Cality Care.

"Suntrack amat berbangga dengan konsep Tuai Residence yang memenuhi wawasan syarikat untuk membina komuniti 'Multi-Ability, Multi-Generational, Inclusive Communities dan Terminalogi' (MAGIC).

"Selepas memenangi anugerah FIABCI yang berprestij bagi Kanvas SOHO@Cyberjaya pada tahun 2019, kami yakin Tuai Residence juga bakal menjadi pembangunan yang dihargai ramai disebabkan oleh keunikan reka bentuknya," jelasnya lagi.

Tuan Residence yang terletak di Eco Ardence, Setia Alam itu dijual pada harga mampu milik bermula RM490,000 dengan RM450 per kaki persegi. - DagangNews.com