Tugas berat menanti Amir Hamzah di KWSP | DagangNews Skip to main content

Tugas berat menanti Amir Hamzah di KWSP

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

Isu i-Sinar hakikatnya telah 'membuka pekung' di dada mengenai sejauh mana kefahaman rakyat terhadap peranan dana pelaburan kerajaan terutama ketika krisis pandemik COVID-19.

 

Paling ketara sekali apabila sebahagian besar rakyat tidak berpuas hati dengan pengagihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) terutama bagi mereka yang membuat pinjaman ASB. 

 

Ini kerana dividen yang rendah menyebabkan mereka tidak boleh menggunakan wang itu untuk melunaskan komitmen pembayaran bulanan pinjaman tersebut.

 

Sejujurnya, ini juga satu kefahaman yang salah - kita hendak buat pelaburan tetapi meminjam atau sebenarnya tidak mampu? Tiada siapa suruh buat pinjaman. 

 

Hal ini bukan sahaja menunjukkan kefahaman kita mengenai peranan Permodalan Nasional Berhad (PNB) masih cetek tetapi juga buta pelaburan walaupun PNB menganjurkan Minggu Saham Amanah saban tahun (termasuk secara digital tahun lalu). 

 

Suasana selepas pandemik COVID-19 yang tidak tahu akan berakhir bila, sebenarnya sudah tidak sama lagi. 

 

Banyak perkara perlukan perubahan dan dana-dana ini tidak boleh dilihat terlalu 'kebal' atau berimej terlalu 'korporat' kerana ia melibatkan rakyat. 

 

Untuk kelihatan gah di mata pelabur, ia soal lain, tetapi di mata rakyat, peranan mereka perlu jelas dan lebih merendah diri.

 

Walaupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan pelantikan baharu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) minggu lalu bagi menggantikan Tunku Alizakri Alias, tetapi tanggungjawab yang menantinya pasti berbeza. 

 

Baca : Amir Hamzah letak jawatan CEO TNB, beralih ke KWSP

 

Baca : KWSP : Sila berhati-hati jual aset

 

Sebagai CEO baharu dana persaraan itu berkuatkuasa 1 Mac ini, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memikul tugas yang cukup berat. 

 

amir hamzah
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

 

 

Apa yang menimpa KWSP sudah cukup menginsafkan. Mana tidaknya rakyat mendesak supaya lebih baik ia ditutup jika duit mereka tidak dapat dikeluarkan sekarang.

 

Hingga saat ini pun, isu mengenai i-Sinar belum menampakkan 'sinar' lagi meskipun kerajaan memberi jaminan pengeluaran dari Akaun 1 itu akan dipermudahkan. 

 

Dalam hal ini, Amir Hamzah perlu lebih dekat di hati rakyat. Ketika ini, KWSP begitu jauh di sanubari rakyat. Mereka 'jauh hati'.

 

Amir Hamzah pastinya sudah mendapat pengalaman berharga sebelum ini apabila mengemudi Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang secara harfiahnya berurusan dengan rakyat selain mempunyai pengalaman 25 tahun dalam dunia korporat.

 

KWSP mempunyai 14.8 juta pencarum dan mereka bukannya orang ternama, korporat atau orang kaya. Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan  masyarakat, daripada jawatan rendah sehinggalah yang berjawatan besar.

 

Dengan aset menghampiri RM1 trilion, KWSP adalah dana pencen ke-12 terbesar di dunia.

 

Namun, Amir Hamzah dijangka terus berdepan dilema, diluah mati emak ditelan mati bapa dalam menerajui dana itu tidak lama lagi. 

 

Jika diturutkan kemahuan keluar wang tanpa syarat menerusi i-Sinar, dikhuatiri akan menyebabkan strategi pelaburan KWSP terjejas. Natijahnya, semua pencarum berdepan risiko dividen yang lebih rendah. 

 

Tetapi pencarum yang terjejas akibat pandemik ini wajar dibantu, cuma kerajaan tidak boleh lepas tangan dan menyuruh rakyat menggunakan duit persaraan. 

 

Sepatutnya jika dibenarkan pengeluaran pun, KWSP perlu melaksanakan usaha untuk memastikan tabung persaraan pencarum masih mencukupi abila mereka bersara kelak. 

 

Tambahan pula, pada September lalu dilaporkan seramai 7.88 juta atau 54% daripada keseluruhan pencarum KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

 

Jumlah itu amat rendah berbanding simpanan asas RM240,000 yang diperlukan untuk menjalani kehidupan selama 20 tahun selepas persaraan pada usia 55 tahun.

 

Sehubungan itu, pemahaman rakyat mengenai peranan KWSP yang sudah ditubuhkan 70 tahun lalu perlu diterangkan dalam bahasa yang mudah mereka fahami supaya tidak timbul pelbagai isu seperti yang berlaku hari ini. 

 

Dengan hanya menukar tampuk kepimpinan tetapi tidak cuba memahami denyut nadi rakyat, menjadikan pelantikan baharu itu tidak bermakna. 

 

Sudah tiba masanya, dana-dana kerajaan ini lebih mesra rakyat dan dalam masa sama, tetap memainkan peranan mereka sebagai agensi pelaburan yang efisien di mata dunia. 

 

Sememangnya, COVID-19 telah menukar segala-galanya, bukan new norm tetapi back to basic. - DagangNews.com