Tuju Setia dapat kontrak pembinaan Enso Development RM189 juta | DagangNews Skip to main content

Tuju Setia dapat kontrak pembinaan Enso Development RM189 juta

Gambar tujusetia.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Syarikat pembinaan yang bakal disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia esok, Tuju Setia Berhad berjaya meraih kontrak pembinaan dari Enso Development Sdn. Bhd. bernilai RM189.02 juta.

 

Kontrak itu diraih oleh anak syarikat milik penuhnya, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd (PTS) yang menerima Surat Tawaran (LOA) daripada Enso Development, semalam. 

 

Perkara itu dimaklumkan Alliance Investment Bank Berhad yang mewakili kumpulan itu di Bursa Malaysia hari ini. 

 

“Kontrak ini melibatkan tempoh 38 bulan bermula 1 Jun 2021 dan dijangka selesai menjelang 31 Julai 2024,” jelas makluman itu.

 

Pembinaan berkenaan merupakan Pakej 1 projek pembangunan komersial yang terdiri daripada 35 tingkat pejabat kecil pejabat rumah atau SOHO (865 unit), 33 tingkat apartmen khidmat (526 unit) serta 13 tingkat tempat letak kereta podium dan kemudahan berkaitan di Jalan Equine, Taman Equine, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.

 

Tambah Alliance Investment, kontrak itu tidak akan mempengaruhi modal saham dan struktur pemegangan saham oleh syarikat.

 

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih sesaham Tuju Setia dan anak syarikatnya bermula tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 hingga kontrak itu diselesaikan.

 

“Faktor risiko yang mempengaruhi kontrak merangkumi risiko operasi dan pelaksanaan yang normal, dan syarikat akan mengambil langkah yang sesuai untuk mengurangkan impak tersebut,” tambah makluman itu.

 

Menerusi makluman berbeza, Tuju Setia mencatatkan modal saham bernilai RM94 juta dengan 316,828,700 unit saham.  - DagangNews.com