Tuju Setia dapat kontrak projek pembinaan RM143.5 juta | DagangNews Skip to main content

Tuju Setia dapat kontrak projek pembinaan RM143.5 juta

Gambar tujusetia.my
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 April – Tuju Setia Berhad, syarikat perkhidmatan pembangunan yang dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia menerusi anak syarikatnya, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd (PTS) memperoleh projek pembangunan bernilai RM143.5 juta.

 

Kontrak yang dianugerahkan oleh Glomac Berhad menerusi anak syarikatnya, FDM Development Sdn Bhd itu menyaksikan PTS akan bertanggungjawab sebagai kontraktor utama bagi kerja-kerja pembinaan bangunan tinggi, 121 Residences di Petaling Jaya, Selangor.

 

Pembinaan itu terdiri daripada dua blok SoHo setinggi 28 tingkat dan apartmen perkhidmatan, kemudahan berkaitan serta tapak letak kereta bertingkat.

 

Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong berkata, projek itu bukan sahaja meningkatkan tempahan buku kumpulan, tetapi mengembangkan portfolio pembinaan bangunan tinggi olehnya.

 

Wee Eng Kong
Wee Eng Kong

 

“Ini juga akan menjadi klien baharu kepada Tuju Setia, menunjukkan reputasi kualiti dan kemampuan kami untuk membangunkan projek tepat pada waktunya.

 

“Dalam pada itu, kemenangan ini juga menunjukkan keyakinan yang kian meningkat terhadap sektor pembangunan hartanah.

 

“Oleh itu,kami bertekad untuk meneruskan momentum, dengan secara aktif menyertai lebih banyak tender untuk mengekalkan keuntungan syarikat,“ jelasnya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Tempoh bagi kontrak itu mengambil masa sehingga 26 bulan, dengan kerja-kerja pembinaan akan bermula pada Mei 2021.

 

Projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan masa hadapan Tuju Setia.

 

Sejak ditubuhkan pada 2006, PTS telah menyelesaikan projek bangunan tinggi bernilai RM2.2 bilion, melibatkan 51 tingkat terdiri daripada pembangunan perumahan dan bukan perumahan. – DagangNews.com