BAHAGIAN PERTAMA
Oleh DIYANA ISAMUDIN
SEPERTI yang dijangkakan pengumuman Hari Jumaat Hari Jawi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri minggu lalu, mendapat reaksi negatif dari golongan alergik tulisan Jawi. Usaha tersebut dituduh sebagai ke belakang dan cubaan mengArabkan negara. Usaha pemerkasaan tulisan ini juga dituduh sebagai cubaan Islamisasi.
Memang benar kedatangan Islam ke Alam Melayu mempengaruhi penulisan bahasa Melayu yang sebelumnya menggunakan tulisan Pallava (Sanskrit) dan Nagari iaitu tulisan India. Tetapi sistem ejaan tulisan Jawi dihasilkan dengan menghilangkan unsur-unsur Arab. Perubahan ini mengambil kira huruf-huruf Arab yang dapat menzahirkan pertuturan bahasa Melayu klasik.
Sayangnya tulisan Jawi yang berusia lebih 700 tahun ini kurang digunakan. Dahulu, tulisan ini meliputi semua bidang dan urusan pentadbiran kerajaan Melayu termasuk hubungan diplomasi dengan kuasa asing seperti Portugal, Belanda dan Inggeris. Tingginya martabat tulisan Jawi pada masa itu tetapi hanya diremehkan masyarakat moden.
Titah Raja Permasuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah di Twitter pada Disember 2019, seni khat dan tulisan Jawi perlu dikuasai orang Melayu kerana abjad Rumi adalah universal. Baginda juga berkenan untuk menciap di Twitter menggunakan tulisan Jawi.
Iktibar Sejarah Bahasa Korea
Di dalam sejarah Korea, masyarakat terdahulu telah menggunakan sistem penulisan Cina. Yang mengetahui tulisan Cina adalah golongan bangsawan dan terpelajar manakala rakyat marhen yang tergolong sebagai bawahan tidak mempunyai hak untuk belajar. Raja Sejong mencipta dan memperkenalkan tulisan hangeul pada tahun 1446 bagi memudahkan semua rakyat untuk membaca dan menulis.
Tulisan tersebut juga menghadapi ancaman ketika Empayar Jepun menjajah Korea (1910-1945). Seperti mana yang berlaku di Tanah Melayu, rakyat mereka tidak boleh menggunakan bahasa ibunda dan tulisan hangeul.
Bagi memperingati jasa Raja Sejong dan tokoh-tokoh yang memelihara sistem tulisan ini, Korea Selatan menyambut Hari Hangeul (한글날 (hangeulnal)) pada 9 Oktober. Sejarah penciptaan dan pemeliharaan tulisan ini juga banyak diketengahkan di dalam drama dan filem mereka. Mereka sememangnya pencinta sejarah dan penyokong kuat warisan mereka sendiri sehinggakan orang luar negara sanggup mempelajari bahasa Korea dan tulisan hangul!
Sistem Tulisan Jawi
Tulisan Jawi diserap ke Alam Melayu kerana proses Islamisasi dan disesuaikan bentuk tulisan dengan identiti bahasa Melayu. Tulisan Jawi tertua yang ditemui adalah batu bersurat Terengganu (1303M) dan ejaan dan sistem tulisannya amat berbeza dengan tulisan Jawi moden. Ini bermaksud tulisan Jawi telah berkembang dan disempurnakan agar sesuai dengan bahasa Melayu dan lebih sistematik.
Pakar tulisan Jawi warga Korea, Profesor Dr. Kang Kyung Seok mendapati perkembangan sistem tulisan Jawi pada mulanya hampir seperti tulisan Arab iaitu mempunyai tanda baris, tasydid dan sebagainya. Proses perkembangan tulisan Jawi mengambil kira bentuk ejaan perkataan yang sesuai dengan sebutan.
Tulisan Arab mempunyai 28 huruf manakala tulisan Jawi menambah lima huruf iaitu ﭺ (cha), ڠ(nga), ﭪ (pa), ݢ (ga) dan ڽ (nya). Penambahan huruf berlaku apabila bahasa Inggeris diserap iaitu huruf ۏ (va) serta ى (ya tidak bertitik) untuk perkataan-perkataan yang diakhiri ‘isme’.
Fungsi huruf-huruf juga bergantung kepada asal perkataan tersebut sama ada dalam Bahasa Melayu, Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris. Untuk ejaan perkataan Bahasa Melayu, huruf ت (ta maftuhah),ھ (ha simpul) danق (qaf) digunakan. Huruf ة (ta marbutah) dan ح (ha) untuk mengeja perkataan dalam bahasa Arab. ک (kaf) digunakan untuk perkataan dalam bahasa Inggeris.
Sistem ejaan Jawi moden yang dikenali kini adalah hasil kajian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terhadap sistem ejaan Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad. Beliau telah menyusun sebuah kamus bahasa Melayu yang disiapkan pada tahun 1938 iaitu Daftar Ejaan Melayu: Jawi Rumi yang diterbitkan pada 1949. DBP menyempurnakan sistem ejaan Jawi dan sentiasa menambah baik ejaan sehingga lahirnya buku Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan.
Peranan Tulisan Jawi
Manuskrip-manuskrip Melayu yang menggunakan tulisan Jawi telah dikenal pasti dihasilkan dari abad ke-17 hingga akhir abad ke-19. Intipatinya pula merangkumi pelbagai bidang seperti pentadbiran, diplomasi, undang-undang, kebudayaan Melayu, terjemahan ilmu agama, perubatan dan kesusasteraan.
Penulisan Jawi dalam hubungan diplomatik menunjukkan kedudukan bahasa Melayu yang diutamakan para pemerintah Melayu. Warkah para pemerintah dalam hubungan antarabangsa juga menggunakan tulisan Jawi. Ini adalah berdasarkan surat-surat yang dikirimkan Sultan Abu Hayat dari Ternate, Maluku kepada Raja Portugis, King John III pada tahun 1521 dan 1522 Masihi. Sultan Abdul Jalil Riayat Syah dari Johor dan Pahang kepada Raja Perancis, Louis XV pada tahun 1719 dan berpuluh-puluh lagi surat bertulisan Jawi daripada kerajaan-kerajaan Melayu kepada kuasa asing.
Sarjana luar negara, Annabel Teh Gallop dan Bernard Arps berpendapat surat-surat kiriman raja-raja Melayu yang bertulisan Jawi adalah teramat halus dan indah kerana bahasa yang menunjukkan adab dan sopan santun orang Melayu.
Tulisan Jawi kepada Tulisan Rumi
Tahun 1966, memansuhkan tulisan Jawi dalam pendidikan sekolah bagi memudahkan kaum bukan Melayu memahami bahasa Melayu. Warisan Melayu ini beransur-ansur ditolak kerana sikap tolak ansur kita sendiri. Ramai pengkaji tempatan dan antarabangsa telah menyuarakan kerisauan mereka terhadap tulisan Jawi yang mungkin akan pupus sekiranya tiada usaha pemerkasaaan tulisan ini.
Dengan pengumuman Hari Jumaat Hari Jawi, diharap kempen ini konsisten dijalankan dan berkembang penggunaannya. Penulis juga berharap lebih ramai lagi yang minat mengkaji manuskrip Melayu supaya kita lebih faham dan menguar-uarkan kegemilangan masyarakat Melayu yang diselewengkan pihak-pihak tertentu.
Para pembaca boleh melihat sendiri manuskrip Melayu yang tersimpan di British Library, United Kingdom dalam bentuk digital di laman web mereka http://www.bl.uk/manuscripts dengan kata kunci Jawi. – DagangNews.com
IKUTI BAHAGIAN KEDUA HURAIAN SEJARAH TULISAN JAWI ESOK