Tumpuan pasaran kini beralih kepada bakal TPM, pembentukan Kabinet - UOB | DagangNews Skip to main content

Tumpuan pasaran kini beralih kepada bakal TPM, pembentukan Kabinet - UOB

Pembentukan Kabinet dijangka diketahui minggu ini. - Gambar Perdana Putra

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Setelah mengetahui siapa pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatannya minggu lalu, kini pasaran akan tertumpu kepada pemilihan Timbalan Perdana Menteri pula. 

 

Menurut UOB Research, pelabur juga akan memberi fokus kepada pembentukan Kabinet baharu terutama portfolio penting seperti kewangan, perdagangan dan pelaburan, kesihatan dan hal ehwal dalam negeri. 

 

"Bagaimanapun, cabaran seterusnya yang dihadapi kepemimpinan baharu adalah pembentangan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri baharu apabila Parlimen kembali bersidang 6 September ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, senarai anggota Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. 

 

Jelasnya, perbincangan mengenai pembentukan Jemaah Menteri sedang dilakukan sebelum senarai anggota Kabinet dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Kesemua anggota Kabinet melepaskan jawatan mereka apda 16 Ogos lalu seiring dengan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas 17 bulan mentadbir negara.

 

Ismail Sabri kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 setelah selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sabtu lalu. 

 

Bagaimanapun, UOB Research menjangkakan perubahan politik itu tidak akan menggugat dasar ekonomi sedia ada dan juga Pelan Pemulihan Negara dalam usaha memerangi pandemik COVID-19. 

 

Katanya, ia juga termasuklah kemajuan dalam program vaksinasi yang mana setakat 21 Ogos, sebanyak 12.7 juta atau 54% penduduk dewasa sudah menerima 2 dos vaksin manakala 18.1 juta atau 77% pula menerima 1 dos vaksin. 

 

"Kami menjangkakan kebanyakan sektor ekonomi dan sosial akan dibuka semula pada suku keempat 2021 yang dilihat mendorong kepada pemulihan bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

"Limpahan positif daripada permintaan luaran juga akan menjadi pemangkin kepada pemulihan seterusnya," jelasnya.

 

Menurut firma itu, Malaysia antara negara di dunia yang memiliki kadar vaksinasi tertinggi di dunia berdasarkan dos vaksin yang diberikan (setiap 100 orang).

 

Dengan melihat jangka masa vaksinasi bulan lalu, hampir semua negeri dijangka mencapai 40% penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin menjelang akhir Ogos dan program vaksinasi akan dipercepatkan bagi mencapai sasaran 100% penduduk dewasa divaksikan pada Oktober.  

 

"Jika dilihat sebahagian besar ekonomi dan sektor dibuka secara beransur-ansur didorong oleh kadar vaksinasi, kadar kemasukan ke hospital disebabkan COVID-19 dan ICU," tambahnya.

 

Sehubungan itu, UOB Research mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 4% sejajar dengan anggaran Bank Negara Malaysia antara 3 hingga 4% manakala kadar dasar semalaman juga dikekalkan pada 1.75% sepanjang 2021. - DagangNews.com