Tun Richard Malanjum terus berbakti kepada masyarakat | DagangNews Skip to main content

Tun Richard Malanjum terus berbakti kepada masyarakat

Tun Richard Malanjum

 

 

Oleh DOMINIC G. JOSEPH
editor@dagangnews.com 

 

 

KOTA KINABALU 18 Nov – Ramai yang menganggap persaraan sebagai penghujung kehidupan. Tetapi bagi  bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, inilah masa meneguhkan azam dan alaf baru untuk dirinya.

 

Beliau mengambil peluang ini untuk menggunakan masanya untuk menyambungkan apa yang telah dimulakan beberapa dekad yang lalu, iaitu membantu masyarakat Sabah melalui Yayasan Osimal.  

 

Dalam projek komuniti dan sosial yang dilaksanakan oleh Tun, beliau menggunakan pendekatan `pemerkasaan masyarakat’.

 

Malanjum merupakan anak kelahiran bumiputera Sabah yang pertama dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia.

 

Beliau telah bersara pada bulan April 2019 sebagai Ketua Hakim Negara kesembilan, selepas berkhidmat selama 27 tahun dalam badan kehakiman.

 

 

malanjun

 

Pada 13 November lalu,  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran 'Tun' kepada Malanjum.

 

Pada istiadat pengurniaan ini, beliau diiringi oleh isterinya Toh Puan Charlene Jintoni.

 

Dalam usaha membantu rakyat, Malanjum berpegang kepada pepatah Cina yang menyebut, “Bila anda beri seseorang ikan, maka anda memberinya makan untuk satu hari tetapi bila anda ajar seseorang itu memancing, maka anda akan memberikan makan seumur hidup.”

 

Beliau menerusi pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Osimal mengelolakan Pusat Latihan Pertanian Kaiduan atau ' KAIDUAN AGRICULTURE TRAINING CENTRE (KATC) yang terletak di daerah Papar ditubuhkan pada 21 Oktober 2021 untuk mendedahkan dunia pertanian khususnya kepada golongan muda di Sabah. 

 

 

katc
Pelajar membajak tanah di Pusat Latihan Pertanian Kaiduan, kelolaan Yayasan Osimal.

 

 

Misi KATC adalah untuk menghasilkan pelatih yang berkeupayaan dalam merancang dan menjalankan kegiatan pertanian sebagai kerjaya yang mampu menjana pendapatan samada menggunakan sistem pertanian moden atau tradisional. 

 

ARTIKEL BERKAITAN : PUSAT LATIHAN PERTANIAN KAIDUAN TAWAR LATIHAN KERJAYA TANI MODEN

 

Setakat ini, Yayasan Osimal telah membina asrama di Kampung Buayan, Kampung Longkogungan dan Kampung Matanggal. 

 

Kemudahan yang disediakan di kawasan terpencil ini membolehkan murid-murid miskin menghadiri sekolah tanpa risau kos perbelanjaan pengangkutan dan masa perjalanan.

 

Selain daripada inisiatif ini, baucar makan dan buku-buku teks diberikan kepada murid-murid miskin di daerah Membakut dan Papar.    

 

BANTUAN LAIN

Sejak pandemik COVID-19 melanda Sabah, Yayasan Osimal telah mengambil banyak langkah proaktif untuk membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, misalnya membekalkan Alat Pelindung Diri (PPE) dan  kamar isolasi mudah alih pertama kepada Hospital Likas di Sabah untuk merawat pesakit yang diuji positif COVID-19.

 

Hujan lebat pada bulan September untuk beberapa jam telah menyebabkan Pekan Donggongon serta kawasan-kawasan berhampiran seperti kampung Sugud, Kibabaig, Kobusak, Mogonibung, Kohizan, Millenium Height Bundusan, Taman Landmark dan lain-lain lagi dilanda banjir. 

 

malanjun
Antara program kemasyarakatan yang dianjur oleh Yayasan Osimal

 


Yayasan Osimal telah menyampaikan sumbangan bekalan saluran paip kepada wakil penduduk Kampung Tinduuzon Sugud untuk membaiki sistem air graviti yang terputus dan rosak teruk akibat banjir besar yang melanda pada 15 September 2021.

 

Bantuan segera dari Yayasan Osimal diberikan berikutan permintaan mendesak daripada penduduk kampung pada 24 September 2021 kerana setelah 10 hari selepas kejadian banjir, bekalan air di kampung mereka masih belum pulih.

 

 

malanjun
Yayasan Osimal menyumbang saluran paip kepada wakil penduduk Kampung Tinduuzon Sugud.

 

 

Pada masa ini sebagai pengerusi Yayasan Osimal Tun Richard Malanjum cuba mengenal pasti pelbagai projek-projek komuniti yang patut diberi perhatian yang segera untuk meringankan beban anak-anak Sabah yang miskin. 

 

Walaupun Tun telah mencapai kejayaan yang tinggi dalam bidang perundangan, menerima pelbagai anugerah dan penghargaan, beliau tidak melupakan asal-usulnya, sentiasa rapat dengan keluarganya dan mengambil sikap dan pendekatan bersahabat dengan semua.   – DagangNews.com