Tuntutan mahkamah: AirAsia X dijangka fail pengurusan kehakiman  | DagangNews Skip to main content

Tuntutan mahkamah: AirAsia X dijangka fail pengurusan kehakiman 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Syarikat penerbangan AirAsia X Berhad (AirAsia X) dijangka memfailkan pengurusan kehakiman (judicial management) selepas menerima tuntutan mahkamah berjumlah RM95.43 juta oleh BOC Aviation.

CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) berkata, ini berikutan AirAsia X mungkin tidak mampu membayar sebarang ansuran penyewaan pesawat berkenaan.

Pengurusan kehakiman itu bakal meletakkan AirAsia X dalam tempoh moratorium di mana sebarang tindakan perundangan tidak boleh dikenakan ke atas atau dikeluarkan oleh syarikat penerbangan itu.

“Bagaimanapun, sekiranya proses pengurusan kehakiman itu gagal mendapatkan kelulusan daripada pemberi pinjaman, kami percaya AirAsia X mungkin terpaksa dilikuidasi dan ditutup kerana kami tidak menjangkakan mana-mana pihak akan menghulurkan bantuan,” jelas analisis CGS-CIMB.

AirAsia X pada 4 September lalu mendedahkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikatnya berdepan tuntutan mahkamah oleh syarikat BOC Aviation di United Kingdom (UK).

Baca : Tuntutan mahkamah RM95.43 juta tambah 'tekanan' AirAsia X

Tuntutan tersebut dibuat dengan dakwaan AirAsia X melanggar kontrak berkaitan penyewaan empat pesawat daripada syarikat BOC Aviation.

Setakat 30 Jun 2020, AirAsia X hanya mempunyai RM252 juta wang tunai yang bertahan sehingga suku pertama 2021 (1Q21) bagi perbelanjaan gaji pekerja dan operasi tetap lain. 

Baca : CGS-CIMB jangka AirAsia X tidak bertahan lama kecuali ada suntikan modal

Dalam pada itu, CGS-CIMB melihat andaian penutupan operasi AirAsia X pada awal tahun 2019 akan menurunkan keuntungan tunai selepas cukai Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebanyak RM142 juta atau 24% daripada keuntungan bersih yang dilaporkan pada tahun berkenaan. 

“Memandangkan COVID-19 telah menyebabkan pengekangan trafik antarabangsa Malaysia, impak ke atas MAHB disebabkan ramalan penutupan AirAsia X akan menyebabkan kadar trafik antarabangsa lambat pulih daripada jangkaan. 

Tambang udara juga dijangka meningkat dengan persaingan yang berkurang dan ini boleh menjadi rangsangan negatif untuk permintaan perkhidmatan itu. 

“Kadar penumpang AirAsia X sebanyak 6 juta pada 2019 semuanya melibatkan penerbangan antarabangsa, menyumbang sebanyak 11.3% kepada jumlah penumpang antarabangsa yang dikendalikan MAHB pada 2019.

“Faktor yang dapat mengurangkan impak berkenaan termasuklah pemotongan perbelanjaan operasi MAHB, perjanjian operasi dengan kerajaan dan sekiranya ada syarikat penerbangan lain menggantikan AirAsia X,” tambah CGS-CIMB.

Trafik penerbangan antarabangsa Malaysia dijangka meningkat kepada 35% daripada kadar 2019 menjelang tahun kewangan 2021.

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' saham MAHB dengan sasaran harga (TP) RM5.80. - DagangNews.com