KOTA KINABALU 22 Feb - Turki melihat Sabah bukan setakat sebuah negeri di Malaysia tetapi dilihat lebih sebagai pintu masuk ke wilayah di negara-negara ASEAN.
Duta Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci berkata, sekumpulan ahli perniagaan dari Turki akan datang ke Kuala Lumpur pada Mac depan dan sebahagiannya akan ke Sabah untuk melihat usaha sama pelaburan.
“Selain inisiatif perdagangan dan pendidikan, kita juga turut menyasarkan untuk mempromosikan tarikan pelancongan Sabah di Turki dan negara berjiran dengannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di pejabatnya pada Isnin.
Kunjungan Kavakci itu turut disertai Kauselor Perdagangannya, Elif Haliloglu Gungunes; Kaunselor Pelancongan dan Hal Ehwal Maklumat, Begum Sahin; Kaunselor Akhbar, Zeynep Havva Rafique dan Pengarah Institut Kebudayaan Turki Yunus Emre, Dr Omer Altun.
Sementara itu, Ketua Menteri menyambut baik dan mengalu-alukan cadangan mewujudkan hubungan perdagangan kerajaan Turki di negeri ini.
Menurut Hajiji, pihaknya sentiasa terbuka dan akan berusaha bagi memudahkan kemasukan pelaburan dari negara berkenaan.
"Sabah amat mengalu-alukan idea pelaburan ini akan melakukan yang terbaik bagi memudahkan pelaburan Turki masuk ke negeri ini," katanya. - DagangNews.com