TYT Sarawak lancar TVS | DagangNews Skip to main content

TYT Sarawak lancar TVS

TYT Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, bersama Ketua Menteri Abang Johari Openg pada majlis pelancaran saluran televisyen milik kerajaan negeri pertama di Malaysia, TV Sarawak di Kuching pada 11 Oktober 2020. (Gambar Bernama)

 

KUALA LUMPUR 12 Okt  - Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud melancarkan stesen televisyen milik kerajaan negeri Sarawak, TV Sarawak (TVS), di Kuching malam tadi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika berucap di majlis pelancaran tersebut berkata, pelancaran itu merupakan satu lagi sejarah kejayaan untuk Sarawak dan satu mimpi jadi kenyataan untuk semua rakyat Sarawak.
 

abgJo
                                                 Abang Johari Tun Openg


Beliau berkata, TVS merupakan stesen televisyen pertama milik kerajaan negeri di negara ini dan akan menjadi platform kepada pencipta, penerbit dan artis Sarawak untuk menunjukkan hasil kerja mereka, dan dalam masa yang sama menjadi medium komunikasi yang efektif menerusi buletin berita, program ehwal semasa dan pelbagai jenis bicarawara.

“Saya berharap, ini (pelancaran TVS) akan membuka lebih banyak pintu kepada Sarawak untuk ditampilkan ke seluruh dunia,” katanya dan menambah TVS akan disiarakan secara percubaan di Saluran 122 Astro untuk tempoh tertentu, bagi memastikan kestabilan teknikal dan gerak kerja yang mencapai standard industri," katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, TVS akan menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak untuk cemerlang dalam pelbagai bidang menerusi kandungan dan dalam masa sama mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk menyumbangkan lebih banyak hasil dalam ekosistem ekonomi digital.

Abang Johari berkata, TVS bukan sahaja menjadi platform untuk komuniti mendapatkan berita rasmi, tetapi juga menggalakkan penyatuan nasional oleh pelbagai bangsa dan budaya yang perlu dikekalkan ketika negeri Sarawak terus maju ke hadapan.

Menurutnya, industri media mampu meningkat naik dalam ekonomi digital jika menyediakan kandungan luar biasa, strategi serta tawaran menarik yang jelas buat pelanggan.

"Saya yakin TVS akan boleh bersaing dengan stesen televisyen yang lain. Ini kerana TVS bukan hanya menjurus kepada hal-hal tempatan tetapi merancang untuk menjadi pemain di rantau ini sekali gus ke peringkat dunia," ujar beliau.

 

Norhyati
                                                 Norhyati Mohd Ismail


Sementara itu Pengerusi Sarawak Media Group (SMG), Datuk Norhyati Mohd Ismail mengalu-alukan semua pencipta, penerbit kandungan dan ahli persembahan dari kalangan anak Sarawak untuk berkolaborasi dengan TVS di dalam membawa arah tuju baharu kepada syarikat penerbitan filem tempatan dan konsep program realiti yang segar.

"Dengan menghasilkan kandungan yang berkaitan dan menjadi tempatan, kita boleh mempamerkan kepelbagaian Sarawak dari segi penceritaan kita yang unik dan kepelbagaian budaya.

"TVS mewakili suara anak Sarawak dan memberikan mereka peluang untuk mempamerkan bakat kreatif mereka kepada semua," kata beliau. - DagangNews.com