UEM Edgenta terima pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah 37001, bukti komitmen terhadap amalan integriti | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta terima pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah 37001, bukti komitmen terhadap amalan integriti

Mohd Faisal Abdul Shukor (kanan) menyampaikan sijil ABMS 37001 kepada Syahrunizam Samsudin sempena Hari Integriti UEM Edgenta di ibu negara hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Jan - UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) berjaya memperoleh pensijilan ABMS 37001 (Sistem Pengurusan Anti Rasuah) yang dikeluarkan  SIRIM QAS International Sdn. Bhd (SIRIM QAS) sebagai sebahagian daripada proses ke arah tadbir urus yang baik.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, pengiktirafan ini bukanlah sekadar satu sijil tetapi merupakan komitmen syarikat untuk masa depan yang bebas daripada rasuah dan diterajui integriti.

 

"Kejayaan ini bukan satu pencapaian yang kecil buat kami di UEM Edgenta. Syabas kepada pihak Jabatan Risiko, Integriti & Pematuhan (RICD) UEM Edgenta yang telah menjadi nadi di sebalik usaha berterusan untuk mencapai pensijilan ini.

 

"Kesungguhan mereka telah memastikan organisasi ini diiktiraf kerana menjunjung piawaian tertinggi tadbir urus," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan SIRIM Berhad, Mohd Faisal Abdul Shukor menyampaikan sijil tersebut kepada Syahrunizam sempena Hari Integriti UEM Edgenta di ibu negara hari ini.

 

Acara tersebut yang merupakan program tahunan UEM Edgenta dirasmikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

 

ayob
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

 

Pelbagai program diadakan sempena acara itu yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta menggalakkan tingkah laku beretika di kalangan warga UEM Edgenta. 

 

Pensijilan ABMS 37001 dilancarkan di Malaysia berikutan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Jabatan Standard Malaysia untuk menerima pakai ISO 37001 di negara ini. 

 

ISO 37001/ MS ISO 37001 adalah sistem kawalan dalaman secara sukarela bagi sesuatu organisasi mengurus, mengendalikan, menguatkuasa, menilai serta menambah baik langkah pencegahan rasuah dengan berkesan.

 

Sistem ini boleh disesuaikan bagi membendung risiko rasuah yang dihadapi oleh mana-mana organisasi dan direka bentuk untuk membantu organisasi menunjukkan kepada pihak berkepentingan bahawa pelaksanaan langkah dan inisiatif pencegahan rasuah yang mencukupi telah disediakan.

 

Sementara itu, Syahrunizam berkata, komitmen UEM Edgenta dalam memerangi rasuah ditekankan melalui dasar toleransi sifar yang disokong oleh inisiatif seperti Dasar & Panduan Anti Rasuah & Anti Korupsi (Anti-Bribery & Anti-Corruption atau ABAC), dasar menangani konflik kepentingan dan platform pemberi maklumat yang mudah diakses.

 

Jelas beliau, komitmen terhadap kelakuan beretika ini dilaksanakan melalui pembelajaran dan komunikasi berterusan bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban di setiap peringkat.

 

"Sebagai sebuah syarikat tersenarai awam, kami bertegas bahawa semua usaha dan proses perniagaan kami mematuhi amalan tadbir urus korporat yang baik,” katanya.- DagangNews.com