UEM Sunrise beli tanah 6.86 ekar bersebelahan MRT Taman Connaught | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise beli tanah 6.86 ekar bersebelahan MRT Taman Connaught

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Salah satu syarikat pemaju hartanah utama, UEM Sunrise Berhad telah mengambil alih sebidang tanah berukuran 6.86 ekar bersebelahan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Connaught di Cheras, Kuala Lumpur bernilai RM197 juta.

 

Ini selepas UEM Sunrise menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Land Berhad menandatangani Perjanjian Jual dan beli (SPA) dengan pemilik asal tanah berkenaan, Accolade Land Sdn. Bhd. bagi tujuan pembangunan sebuah projek yang disasarkan buat pemilik rumah muda.

 

Projek tersebut akan melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion dan dilaksanakan dalam dua fasa pelancaran, bermula pada separuh kedua 2022 (2H22).

 

“Tanah yang terletak berhampiran dengan Stesen MRT Taman Connaught membuka peluang yang hebat buat UEM Sunrise untuk meneroka pembangunan berorientasikan transit, memenuhi permintaan golongan pekerja muda di kawasan bandar dan dilengkapi dengan tawaran gaya hidup di kediaman pada harga menarik,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah dalam satu kenyataan.

 

Bagi syarikat itu, Cheras terus menjadi salah satu kawasan tempat tinggal yang paling banyak dicari kerana kemudahan pengangkutannya, disambung kepada enam stesen MRT.

 

Dalam masa sama, tanah itu juga disambung ke Lebuh Raya Cheras-Kajang, Jalan Cheras dan berdekatan dengan Jalan Lingkaran Tengah 2.

 

Kawasan tersebut berdekatan dengan pelbagai kemudahan seperti Pantai Hospital Cheras dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM serta UCSI University.

 

Pembelian tanah itu menandakan langkah pengambilalihan utama kedua oleh UEM Sunrise pada tahun ini, sekali gus didakwa membuktikan komitmen syarikat untuk mengimbangi semula portfolio pemegangan tanah-tanahnya di kawasan berkenaan.

 

Menerusinya juga, UEM Sunrises mencatatkan jumlah pemilikan tanah di kawasan Kuala Lumpur kira-kira 440.1 ekar dengan anggaran GDV sebanyak RM29 bilion. - DagangNews.com