UEM Sunrise-Eco World Development Group bakal bergabung? | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise-Eco World Development Group bakal bergabung?

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Syarikat pembangunan hartanah, Kumpulan UEM Berhad mencadangkan penggabungan antara anak syarikatnya, UEM Sunrise Berhad dan Kumpulan Eco World Development Berhad. 

Menerusi surat cadangan oleh Kumpulan UEM bertarikh 2 Oktober 2020 yang dipaparkan dalam Bursa Malaysia, penggabungan kedua-dua syarikat hartanah gergasi itu adalah susulan keadaan ekonomi yang lemah dan haluan pasaran mendorong pemain industri untuk menggabungkan sumber dan keupayaan bagi membentuk platform perniagaan kukuh.

Sehubungan itu, cadangan penggabungan berkenaan dijangka membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia, yang memiliki kepakaran unggul merentasi pelbagai tawaran produk dengan keupayaan kukuh dalam setiap segmen industri hartanah bagi menawarkan nilai dan pertumbuhan dalam jangka masa panjang.

“Ia akan menjadikan UEM Sunrise sebagai entiti yang lebih besar di mana akan mengeluarkan saham dan waran baharu sebagai pertukaran bagi saham dan waran milik Eco World. UEM Sunrise yang bersaiz lebih besar ini akan mengekalkan status penyenaraian di Bursa Malaysia.

“Kumpulan UEM akan menjadi pemegang saham tunggal terbesar dalam UEM Sunrise yang bersaiz lebih besar ini dengan pemilikan ekuiti sebanyak 43%, manakala pemegang saham Eco World akan memiliki 24.2% kepentingan ekuiti. Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan atau GLIC secara bersama akan memiliki pegangan ekuiti melebihi 50%,” kata Kumpulan UEM dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, setelah selesai penggabungan kedua-dua firma berkenaan, ECO World akan menjadi anak syarikat sepenuhnya oleh UEM Sunrise dan dikeluarkan daripada senarai pasaran Bursa Malaysia Securities Berhad. 

Lembaga Pengarah dan pengurusan UEM Sunrise yang bersaiz lebih besar itu akan diterajui oleh Pengerusi yang merupakan ahli Lembaga Pengarah UEM Sunrise ketika ini. 

Menurut Kumpulan UEM, satu Jawatankuasa Integrasi akan ditubuhkan yang melibatkan wakil-wakil dari UEM Sunrise dan Eco World, dipengerusikan bersama oleh Pengerusi dari kedua-dua syarikat. 

Jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk membincangkan hal-hal berkaitan integrasi termasuklah komposisi ahli Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan utama.

“Cadangan penggabungan ini juga merupakan peluang bagi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk bekerjasama dengan sektor swasta dalam membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia dengan unjuran Nilai Pembangunan Kasar atau Gross Development Value (GDV) berjumlah RM173.2 bilion dan aset tanah melebihi 17,000 ribu ekar dalam negara. 

“Cadangan penggabungan ini adalah tertakluk kepada perbincangan oleh Lembaga Pengarah kedua-dua syarikat dan sehinggalah mereka memaklumkan kesediaan untuk membawa perbincangan ini ke peringkat seterusnya, tidak ada jaminan bahawa cadangan penggabungan ini akan menghasilkan sebarang perjanjian atau obligasi yang mengikat antara kedua-dua syarikat,” tambah Kumpulan UEM. 

Kumpulan UEM yang memiliki 66.1% pegangan di dalam UEM Sunrise, telah menerokai kemungkinan penggabungan antara UEM Sunrise dengan beberapa syarikat pembangunan hartanah lain. - DagangNews.com